MELAKA - Wanita warga emas ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa oleh suaminya di atas katil diruang tamu rumahnya di Jalan Kota Laksamana, di sini petang semalam.
Mayat mangsa berusia 79 tahun itu ditemui kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas suaminya risau isterinya tidak menjawab panggilan telefon.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 2.10 petang dan hasil siasatan dilakukan di lokasi kejadian mendapati kediaman mangsa dipercayai dipecah masuk.
"Kejadian disedari suaminya yang pulang ke rumah selepas gagal menghubungi mangsa yang tinggal seorang diri dan suaminya turut memberitahu rantai emas dipakai isterinya tiada.
"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas tubuh mangsa bagaimanapun tidak menemui sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Raiz Mukhliz berkata, punca kematian diperoleh daripada bedah siasat mangsa meninggal kerana sakit jantung.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan kematiannya diklafikasikan sebagai mati mengejut," katanya.