RM3.8 juta untuk dua sekolah daif di Johor

Iklan
Mohd Solihan (dua dari kiri) melihat bumbung SK Seri Paya, Batu Pahat sambil diperhatikan Aminolhuda (kanan).

BATU PAHAT - Sebanyak dua sekolah daif di negeri ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paya di daerah ini dan SK Parit Markom, Pontian akan dibina semula serta dinaiktaraf dengan kos berjumlah sebanyak RM3.8 juta.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, sebanyak RM2.93 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja meroboh dan membina bangunan empat bilik darjah, tiga bilik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik guru, tandas dan kemudahan lain di SK Seri Paya.

Iklan
Iklan

"Bangunan lama sekolah ini usang kerana sudah berumur lebih 70 tahun dan ada sebahagian strukturnya dimakan anai-anai serta tidak selamat digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) sejak beberapa bulan lalu.

"Jangkaan projek bermula adalah pada 17 Jun ini dan dijangka siap pada 15 Disember tahun ini melibatkan skop kerja meroboh astaka, pembinaan laluan berbumbung, pagar, sistem retikulasi air, sistem kumbahan dan tangki air," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Tahun 2019 di SK Seri Paya di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Mohamad Salleh Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Azman Adnan.

Iklan

Menurutnya, bagi skop kerja SK Parit Markom pula menelan kos sebanyak RM893,333 bagi meroboh dan membina baharu blok kantin dan pondok pengawal selain pembinaan laluan berbumbung, pagar, pelebaran pembentung dan kerja menambak tanah.

"Sekolah ini juga mengalami masalah hampir sama dengan SK Seri Paya ini. Kerja-kerja pembinaan akan bermula pada 17 Jun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 Disember 2019, kedua-dua projek ini babitkan peruntukan di bawah pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Projek ini juga dilaksanakan secara tender terbuka dan saya melihat projek ini sangat penting untuk pembangunan sahsiah rakyat dan kontraktor yang dilantik harus menyiapkan projek ini mengikut tempoh yang ditetapkan kerana ini adalah pelaburan kerajaan untuk jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, pada tahun hadapan sebanyak lima permohonan membina baharu dan menaiktaraf sekolah daif di negeri ini yang berada pada skala satu hingga tujuh akan dihantar kepada KPM.

"Bagaimanapun, kita akui keadaan sekolah daif di negeri ini tidak seteruk sekolah di Sabah dan Sarawak," katanya.