DARI dulu saya pernah menulis berkaitan etnik Rohingya dalam sisi pandang rakyat dalam negara kita ini. Mengapa ia tak diangkat sangat oleh bangsa dan agama lain. Kerana kita bercakap dan berdiri atas isu Muslim semata.
Namun bila saja berlaku pada bangsa dan agama selain dari dunia Melayu atau dunia Muslim tidaklah kita selaju dan sepantas apa yang berlaku kepada Melayu atau pun Muslim. Mengapa kita tak bercakap atas premis kemanusiaan?
Seluruh makhluk yang dizalimi dan tidak diadili wajar mendapat pembelaan daripada semua termasuklah umat Islam dan bangsa Melayu. Etnik Uighur misalnya tidak terdedah atau diperjuangkan oleh kita mungkin kerana mereka tidak berkelana atau menjadi pelarian di negara kita.
Hari ini terdapat ratusan ribu tahanan etnik Uighur yang ditempatkan di kem-kem tahanan di Xinjiang. Ada sumber menyatakan mereka diberi latihan kemahiran untuk mengisi pekerjaan sektor kilang namun dibayar dengan kadar yang rendah.
Bayangkan jika semua daripada kita memandang dan mengangkat isu ini sebagai wacana kemanusiaan dan bukan pembelaan yang terpecah mengikut anutan dan warna kulit.
Dari segi pengamatan kasar menampakkan kesedaran kemanusiaan masih lagi terkekang dengan gerakan agama dan aliran fikir yang berbeza. Bukanlah ia suatu jenayah tetapi perlu disemai satu tahap pemikiran bahawa kesedaran kemanusiaan perlu rentas segalanya.
Pembelaan kepada penindasan semua lapisan etnik, penafian hak hanya kerana perbezaan warna kulit adalah sangat bercanggah dengan apa yang diajar oleh Islam. Bukan bertanya dulu mazhab apakah mereka, agama apakah mereka, atau bangsa manakah mereka.
Lihat saja apa yang berlaku di Gaza, perjuangan rakyat dunia yang mengecam tindakan Zionis itu menyeluruh keluar sempadan agama. Hingga Muslim di sana pernah berlindung di salah sebuah gereja ortodoks di Gaza akibat kediaman mereka dibom.
Begitulah seharusnya pembelaan dan layanan keadilan yang perlu dipraktikkan atas nama apa pun fahaman dan anutan. Bukankah itu yang diajar oleh utusan Tuhan kepada kita?
Tatkala kedamaian dan keharmonian yang menjadi mahkota kebanggaan dek kerana kemajmukan unik yang ada pada Malaysia sedikit tergugat. Pasca PRU14 lalu Malaysia Baharu sering dihujani dengan persoalan dan isu agama dan bangsa.
Terbaharu adalah apa yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berusia 24 tahun menambah lagi luka dan duka yang namanya bangsa Malaysia. Seluruh rakyat bangkit tidak mengira apa fahaman dan agama mendoakan anggota bomba yang menjadi korban rusuhan di salah sebuah kuil di Selangor.
Kematian Adib merupakan sebuah tragedi yang perlu diperhalusi dan tidak untuk dimanipulasikan. Berlegar di media sosial tika ini yang lebih menjurus tajam dan bersifat rasis. Ada Melayu yang merasakan Adib itu Melayu yang punya, dia adalah pejuang Muslim. Inilah yang saya tulis pada awal tadi, dalam kalangan kita mengekang hingga ia menjadi sesuatu yang eksklusif.
Walhal rakyat perlu merasa bahawa Adib itu kita yang punya. Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Dayak atau Orang Asli merasakan kehilangan Adib itu bersama. Hingga itu belum terasa maka kemanusiaan bagi kita hanyalah bangsa dan agama.
Apa pula pendirian kita untuk Beng Hock, Kevin Morais, Altantuya? Teoh Beng Hock pernah menggemparkan negara pada 2009 atas kematiannya yang mencurigakan. Sehingga waktu itu SPRM membayar saman oleh keluarga Beng Hock sebanyak RM600,000. Di manakah kita dan desakan kita? Mengapa terpilih dan memilih dalam berkata soal kemanusiaan?
Pegawai SPRM yang terlibat semuanya Melayu. Bayangkan jika ketika sentimen kaum itu ditiupkan tatkala pemerintahan terdahulu terkenal dengan dasar pecah perintah yang mudah saja diacukan dengan api perkauman. Apakah kemanusiaan itu bersifat perkauman?
Bukan sahaja Beng Hock, malah pembelaan dan keadilan juga perlu dituntut oleh kita semua atas nama benci kepada rasisme dan kezaliman terhadap Morais dan Altantuya. Kemanusiaan jangan berpilih-pilih, kemanusiaan itu perlu kesatuan dan bukan untuk kepentingan.
Adib pergi membuka minda pentingnya kemanusiaan. Pastinya yang bernyawa akan pulang menemui sang Penciptanya. Namun pemergian Adib bukanlah sesuatu yang murah harganya. Begitulah nilai yang perlu dibayar oleh Adib dan keluarganya.
Apa yang menimpa Adib menjadi laluan pemecah untuk rakyat berfikir peri pentingnya kefahaman berkait kemanusiaan. Bukan sekadar menuduh dan mendesak, yang terbaik adalah menjadikan tragedi tragis ini sebagai pengajaran dan pembelajaran.
Moga Adib tenang di dunianya.
* Penulis mantan Ketua Pemuda Amanah Melaka