Kisah Hussin dihargai DRB-Hicom, MPT

Iklan
Hussin (tiga dari kiri) teruja menaiki motosikal disumbangkan syarikat DRB-Hicom Berhad sambil diiringi Mahmood (dua dari kiri) dan Borhan (tiga dari kanan).

TAIPING - Berkat keikhlasan seorang lelaki membersihkan persekitaran bandar Taiping tanpa mengharapkan sebarang ganjaran akhirnya memberi pulangan lumayan apabila menerima sumbangan sebuah motosikal oleh syarikat DRB-Hicom Berhad.

Sentiasa menganggap perbuatan murni itu sebagai satu tanggungjawab, Hussin Kassim, 55, yang tinggal di Jalan Tupai, di sini bersama ibunya, Aisyah Cheku, 76, sentiasa menjalankan kerja amal membersihkan hadapan kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan persekitaran bandar pada setiap hari sejak empat tahun lalu.

Iklan
Iklan

Lebih mengharukan, inisiatif itu dilakukan Hussin secara ikhlas meskipun dia terpaksa menjalani hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' bersama ibunya di samping tinggal menumpang di sebuah rumah usang milik orang lain.

"Pendapatan bulanan saya dengan mencari buah kelapa dan ulam-ulaman untuk dijual hanya sekitar RM400 hingga RM500 sebulan, namun saya tidak kisah buat kerja amal bersihkan persekitaran bandar Taiping kerana bandar ini adalah warisan kita.

Iklan

"Saya terkejut dan bersyukur menerima ganjaran sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR2 bernilai lebih RM4,000 disumbangkan syarikat DRB-Hicom Berhad kerana inisiatif itu, dan ianya pasti memberi suntikan semangat tambahan untuk saya meneruskannya selagi hayat dikandung badan," katanya kepada media pada majlis penyerahan sumbangan motosikal oleh syarikat DRB-Hicom Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping(MPT) di pekarangan kediaman Hussin di Jalan Tupai, di sini semalam.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Yang Dipertua MPT, Borhan Abdul Halim dan Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Mahmood Abdul Razak.

Iklan

Kisah murni Hussin mula mendapat perhatian masyarakat terutama MPT dan syarikat korporat tanahair setelah tular dalam pelbagai platform laman sosial sejak sebulan lalu.

Inisiatif murni Hussin turut mendapat reaksi positif ramai warganet malahan ada yang mula mengiktirafnya sebagai Ikon Kebersihan Bandar Taiping.

Mahmood (kiri) meninjau keadaan dalam rumah dihuni Hussin (tengah) dan ibunya di Jalan Tupai, Taiping sejak empat tahun lalu.

Hussin berkata, selain terpaksa menumpang di bahagian bawah rumah seorang individu pemurah, dia juga terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga ibunya yang keuzuran.

Bagaimanapun, situasi itu tidak pernah menghalang Hussin untuk berbakti dengan bandar Taiping meskipun dia mengakui sering mendapat persepsi negatif segelintir pihak yang menganggapnya hilang akal.

"Saya tidak pernah peduli pun dengan cakap orang, bagi saya paling penting saya dapat berbakti kepada bandar warisan yang membesarkan saya sejak kecil.

"Di sebalik persepsi negatif, ada juga pihak prihatin dan menghargai usaha saya membersihkan persekitaran bandar dengan memberi pelbagai sumbangan berupa wang tunai dan barangan," katanya.

Sementara itu, Mahmood sewaktu ditemui berkata pemberian motosikal jenis Modenas Kris MR2 berharga lebih RM4,000 kepada Hussin sebagai tanda prihatin dengan apa dilakukannya.

Menurutnya, Hussin melakukan kerja kebersihan dengan luar biasa kerana kerja kebersihan yang dilakukan itu tidak mendapat imbuhan.

"Kita tergerak hati untuk membantunya dan kerana itu kita memberikan sebuah motosikal untuk membolehkan Hussin bergerak," katanya.