Air tebu, ayam masak merah gamit memori

Iklan
Parlan tetap membersihkan tanaman tebu ditanam sendiri yang menjadi antara minuman kegemaran untuk buka puasa arwah Hasni Hardi.

SEGAMAT - Tatkala tibanya Aidilfitri, ingatan terhadap Allahyarham anaknya yang maut dalam tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh beberapa tahun lalu itu tidak pernah luput dari ingatan.

Parlan Mesiran, 65, berkata, meskipun kejadian berlaku pada Julai 2014 namun setiap kali Syawal, juadah kegemaran arwah Hasni Hardi, 31, terhidang sekali gus menggamit memori Aidilfitri mereka sekeluarga.

Iklan
Iklan

"Air tebu dan ayam masak merah antara juadah kegemaran arwah untuk berbuka puasa dan hidangan di pagi raya namun kini ia menjadi kenangan terindah buat kami seisi keluarga.

"Kebetulan kejadian menusuk hati ini berlaku dalam bulan Ramadan dan hanya beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut lebaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, hidangan air tebu menyimpan banyak memori antara mereka sekeluarga dengan arwah lantaran Hasni Hardi gemarkan minuman dihasilkan oleh bapa atau ibunya, Asiah Rajikun, 61, sahaja.

"Arwah hanya inginkan air tebu hasil air tangan saya atau isteri sahaja dan bukan dibeli dari penjual air tebu.

Iklan

"Jadi setiap kali melihat tanaman tebu berhampiran rumah yang ditanam secara kecil-kecilan ia pastinya mengimbau kenangan manis saat teringatkan memori kami mengambil tebu di sini untuk memenuhi hasrat arwah,” katanya.

Parlan berkata, kini bagi melepaskan rindu mereka sekeluarga buat arwah Hasni Hardi, rutin menziarahi pusara pemuda itu di Tanah Perkuburan Islam Paya Luas, Batu 8 yang terletak dua kilometer dari rumahnya di Taman Seri Alam 2, Batu Anam di sini akan dilakukan sebaik selesai solat sunat Aidilfitri.

Katanya, suatu perkara yang belum pernah diceritakan pada umum ialah anak kedua daripada lima beradik itu sempat memberitahu beberapa minggu sebelum kejadian bahawa dia telah membeli sebuah beg baju berkualiti tahan hentakkan yang mana sekiranya pesawat dinaiki terhempas, barangan muatannya tidak akan terjejas.

"Dia seolah-olah tahu peristiwa tragis itu akan menimpanya. Sebelum itu seorang ahli keluarga ada menerima emel dari pengurusan MAS bagi mengenal pasti barangan peribadi milik arwah antaranya pakaian dan pelbagai dokumen namun sehingga kini tiada perkhabaran lanjut berhubung perkara itu.

"Kami memang berharap pakaian terakhir arwah Hasni Hardi dikembalikan setelah proses mandi jenazah dilakukan oleh Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana dimaklumkan arwah antara jenazah ditemui sempurna. Sekurang-kurangnya pakaian terakhir itu mampu menjadi barang kenangan berharga buat kami sekeluarga,” katanya.

Sebelum ini, Hasni Hardi yang bekerja sebagai jurutera gas di syarikat perkapalan merupakan antara 298 penumpang termasuk 15 anak kapal pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Boeing 777 200ER. Pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di ruang udara Timur Ukraine pada 17 Julai 2014.