SHAH ALAM -"Alhamdulillah, kehadiran Aidilfitri pada tahun ini menjadi permulaan baharu dalam hidup saya.”
Begitulah ungkapan gembira diluahkan oleh salah seorang penuntut di Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Darul Wardah Selangor (Darwa) yang bakal menamatkan proses pemulihannya tidak berapa lama lagi.
Saat penulis bertemu Mira di pusat pemulihan itu, gadis berusia 21 tahun tersebut kelihatan begitu tenang dan ramah melayani pertanyaan yang diajukan kepadanya.
Menurut Mira, selepas lebih setahun menuntut di situ, dia kini sudah semakin pulih dan akan pulang ke pangkuan keluarganya yang menetap di Ampang.
"Sepanjang tempoh berada di sini, banyak ilmu dan benda baharu yang saya belajar hasil daripada bimbingan tenaga pengajar di sini,” katanya.
Di samping itu, anak bongsu daripada lima beradik itu juga tidak kekok untuk berkongsi pengalaman hitamnya suatu ketika dahulu.
Dengan nada tenang, Mira menceritakan detik-detik dia berkenalan dengan seorang lelaki yang ingin menjadi kekasihnya pada suatu ketika itu.
"Sebelum ini saya agak liar dan terlalu impikan kebebasan seperti ingin berpasangan sama seperti kawan-kawan lain.
"Sewaktu kenal lelaki itu, saya lihat perwatakannya amat berbeza dan disebabkan itulah saya jatuh hati kepadanya. Namun tak sangka, dia cuma ambil kesempatan ke atas saya sehingga kami terlanjur,” katanya.
Mengulas lanjut, Mira berkata, selepas sebulan dia amat terkejut apabila disahkan mengandung selepas menjalani ujian air kencing yang dilakukan sendiri di rumah.
Lebih merisaukan, Mira turut mengalami sakit kaki secara tiba-tiba dan tidak dapat bangun dipercayai akibat buatan orang yang tidak berpuas hati dengan bapanya.
"Bermula daripada situlah, ahli keluarga mula mengetahui yang saya mengandung dan kejadian ini mula membuka mata serta hati saya untuk berubah,” katanya.
Belajar perkara baharu
Walaupun ahli keluarganya mengetahui mengenai kandungan itu, Mira berkata dia bersyukur apabila mereka semua memberi sokongan kepada dirinya.
Ujar Mira, dia juga bersetuju untuk masuk ke Darwa selepas abangnya memujuknya untuk berubah dan mendalami asas ilmu agama.
"Sebelum masuk ke sini, terus terang saya cakap saya memang langsung tak pernah solat, sentuh al-Quran dan sebagainya.
"Disebabkan itulah ahli keluarga mahukan saya menjadi insan baharu dan berubah untuk lebih dekat dengan ALLAH,” katanya.
Mengulas mengenai proses pemulihannya itu, Mira berkata, dia berdepan cabaran agak besar untuk menyesuaikan diri dengan pesekitaran baharu di pusat kebajikan tersebut.
Namun begitu, Mira berkata, dia cuba sedaya upaya untuk mempelajari semula ilmu agama dan mengerjakan solat lima waktu pada setiap hari.
"Jika dulu, saya begitu berat untuk solat namun sejak masuk sini, walaupun kaki ini masih sakit saya tetap gagahkan diri untuk tunaikan solat. Malah saya juga sudah mula mendekati al-Quran,” katanya.
Cari kerja kumpul wang sendiri
Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas keluar nanti, Mira berkata dia berhasrat untuk mencari pekerjaan dan mempunyai wang simpanan sendiri.
Katanya, Aidilfitiri ini bakal menjadi pembuka lembaran baharu buat dirinya yang sebelum ini pernah berdepan pelbagai kisah hitam suatu ketika dahulu.
"Apa yang penting, saya nak keluar dan lupakan kisah lama. Saya nak cari kerja dan kumpul wang sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Mira turut mengingatkan anak-anak muda agar tidak terlalu bebas dan terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang bakal memberi kesan buruk pada masa hadapan.
Tambahnya, setiap insan perlu mempunyai hala tuju agar tidak tersasar dalam landasan kehidupan ini.
"Saya cuma nak pesan, kalau kita nak berjaya, hargailah ibu bapa. Restu mereka amat memberi makna besar dalam kehidupan kita,” katanya.