MEMANG menjadi lumrah manusia tidak pernah berasa cukup dan puas dengan apa yang ada.
Jika sudah memilik kereta, mereka berusaha untuk memiliki sebuah kereta lagi.
Begitu jugalah dalam hal-hal lain kerana selagi tidak tertunai, selagi itulah insan yang bernama manusia akan berusaha untuk mencapai apa yang dihajati mereka.
Sebenarnya, perasaan tidak puas itulah yang menjadikan kita bersikap tamak.
Benarlah seperti disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda:"Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya dia mahu yang kedua dan sekiranya dia mempunyai dua lembah, nescaya dia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan ALLAH sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat." (Riwayat Ahmad)
Sebenarnya ALLAH SWT mencipta kita dengan sebaik-baik ciptaan dan setiap ketentuan seperti jodoh, ajal dan sebagainya sudah ditentukan sejak kita daripada dalam perut ibu lagi.
Berbaik sangkalah dengan ALLAH dan percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Menduga dan berburuk sangka terhadap pemberian ALLAH itu adalah satu dosa.
Justeru, tanyalah pada diri kita, apa sebenarnya yang membolehkan kita berasa cukup? Simpanan berjuta-jutakah? Jodoh yang baikkah?
Teruskanlah kehidupan kita secara bersederhana dan paling penting berdoalah supaya kehidupan kita yang sederhana akan menjadikan kita insan yang bersyukur.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)