Bimbang penyebaran video lucah rosakkan masyarakat

Iklan
Khairul Amri
IPOH - Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) menyatakan kebimbangan terhadap penyebaran secara berleluasa video intim yang dikaitkan pemimpin politik negara kerana boleh merosakkan masyarakat.

Penasihatnya, Khairul Amri Abdul Rahman berkata, perbuatan tersebut sangat jijik dan kotor ketika umat Islam masih lagi berada di dalam suasana Aidilfitri.

Beliau berkata, sebarang penyebaran video tersebut harus dihentikan dan tidak harus ditonton oleh setiap peringkat masyarakat terutama golongan muda.

"Jangan kita menjadi penyambung fitnah dengan penyebaran video lucah dalam suasana ummat Islam masih lagi dalam suasana menyambut Hari Hari Raya Aidilfitri.

"Penyebaran video ini boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat apatah lagi sekiranya ia ditonton oleh golongan remaja tanpa berfikir dosa atas perbuatan yang sangat buruk ini," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Khairul Amri berkata, sebagai seorang Islam perbuatan keji tersebut perlu dihentikan kerana boleh merosakkan imej agama.

"Sebagai umat Islam mereka sepatutnya mempamerkan contoh akhlak yang baik di dalam segala bidang termasuk politik. Kita menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya menolak permainan politik kotor dan tidak bermoral ini.

"Pelaku fitnah ini hendaklah diadili di mahkamah syariah dan dikenakan hukuman qazaf menurut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran secara berleluasa video memaparkan hubungan hubungan intim songsang yang dikaitkan dengan pemimpin politik negara.