IPOH - Kejadian pecah masuk rumah yang kerap berlaku di Taman Cempaka di sini meresahkan penduduk sehingga menuntut penjelasan daripada ADUN dan Ahli Parlimen kawasan itu.
Mangsa, Nadiatul Akmal Man, 35, berkata, sejak kecil tinggal di Persiaran Cempaka Sari 3, belum pernah rumahnya dipecah masuk sehinggalah pada 19 Mei lalu.
"Tidak lama selepas itu, pada 25 Mei sebuah lagi rumah di persiaran sama dipecah masuk sehingga menyebabkan kehilangan banyak barangan berharga termasuk barang kemas.
"Penjenayah semakin berani kerana dalam tempoh terdekat dua rumah di persiaran sama dipecah masuk sedangkan Balai Polis Ampang sangat dekat dengan taman kami," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, situasi itu amat membimbangkan penduduk apabila modus operandi yang dikesan dilakukan penjenayah adalah sama iaitu menggunakan lorong belakang rumah dan masuk melalui tingkap belakang.
"Sesuatu perlu dilakukan bagi membendung keadaan ini kerana bimbang ia tidak dapat dikawal dan mengancam keselamatan penduduk.
"Laporan polis serta surat penjelasan mengenai keadaan ini juga sudah dihantar kepada pihak berkuasa serta pejabat ADUN Canning dan Ahli Parlimen Ipoh Timur untuk perhatian mereka," katanya.
Nadiatul Akmal berkata, satu sesi dialog di antara penduduk, pihak polis dengan penglibatan wakil rakyat perlu diadakan bagi mencari jalan membendung kegiatan ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nurul Akmalia Tarbenji, 31, berkata, situasi yang dialami sedikit berbeza apabila basikal anaknya dicuri penjenayah.
"Tindakan penjenayah ini sangat menakutkan kami. Bayangkan ketika orang ada di dalam rumah pun dia boleh curi barang, inikan pula kalau tak ada orang.
"Saya dan anak-anak pun takut terutama kalau pelajar Politeknik Ungku Omar cuti semester kerana laluan perumahan jadi sunyi sebab kebanyakan rumah berhampiran disewa pelajar-pelajar ini," katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku pada waktu malam ketika itu dia bersama anak-anak masih belum tidur terdengar individu memberi salam sebelum penjenayah tersebut membuka pagar rumah dan mengambil sebuah basikal.
Penduduk, Tan Hai Eng, 70, berkata, sejak lebih 10 tahun tinggal di taman perumahan itu, itu kali pertama dia mendengar kes pecah rumah di kawasan kejiranan tersebut.
Menurutnya, biarpun kejadian berlaku di rumah jiran, ia mendatangkan kerisauan kepadanya yang sering tinggal bersendirian di rumah ketika anak bekerja.
Hai Eng berkata, setiap kali anak bekerja, dia tidak berani naik ke tingkat atas rumah dan sentiasa berfikir keadaannya jika rumah dimasuki penjenayah.
Sementara itu, ADUN Canning, Jenny Choy yang dihubungi berkata, perbincangan sudah diadakan bersama pihak polis di Balai Ampang dan mereka bersetuju untuk melakukan rondaan di kawasan tersebut.
"Saya juga akan pertimbangankan cadangan untuk diadakan sesi dialog bersama penduduk dan pihak polis. Saya juga berasa bahawa sesi dialog dan pertemuan akan menolong saya lebih memahami dan mendengar isu ini.
"Saya juga telah memaklumkan kepada pihak polis untuk lebih kerap meronda di Taman Cempaka agar dapat menambah baik keadaan keselamatan kawasan tersebut," katanya.