BUTTERWORTH - Sebuah pangsapuri yang diubah suai menjadi pusat hiburan haram diserbu polis dalam Ops Noda Bersepadu yang dilakukan sehingga awal pagi tadi.
Serbuan yang dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (D7) dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bermula jam 11.50 malam hingga 3.30 pagi berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga Thailand berusia antara 21 hingga 32 tahun.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan yang dilakukan terhadap tiga wanita warga Thailand itu mendapati mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja di pusat hiburan berkenaan.
Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan seperti monitor; pembesar suara, mikrofon tanpa wayar, unit amplifier dan enam keping resit jualan minuman keras serta sejumlah wang tunai.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1953; Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini.