PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan khas berjumlah RM77 juta bagi membantu peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melunaskan bayaran-bayaran tertunggak pada tahun semasa.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata kementerian mengambil perhatian serius masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal pada tahun ini.
Iklan
Iklan
"Masalah ini telah mendapat keprihatinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengarahkan bantuan diberikan," katanya.
Guan Eng berkata, jumlah itu merangkumi bayaran khairat kematian sebanyak RM1.2 juta melibatkan waris kepada 120 peneroka yang telah meninggal dunia.
Sebanyak RM43 juta pula untuk bayaran tunggakan kepada Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka, katanya.
Selain itu, Guan Eng berkata sebanyak RM32.8 juta diperuntukkan untuk bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula yang akan memanfaatkan 38,000 orang peneroka Felda.
"Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan tahun 2018 sebanyak RM77,000,000 kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia Felda,” katanya.- Bernama