SHAH ALAM - Pengeluar gula bertapis tempatan, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) kesal dengan tindakan kerajaan meluluskan permit import (AP) kepada lapan pengeluar makanan dan minuman (F&B) di Sarawak.
Dalam satu kenyataan media, keputusan itu dibuat tanpa memahami sepenuhnya latar belakang, tanggungjawab semasa industri gula tempatan dan impak pertengahan dan jangka panjang terhadap bekalan gula dan keselamatan makanan negara.
Menurutnya, harga runcit gula bertapis semasa ialah RM2.85 bagi setiap kilogram dan ia adalah yang paling murah di dunia.
"Harga gula di Malaysia lebih murah daripada negara pengeluar gula mentah seperti Thailand, Indonesia dan Filipina dan lebih rendah daripada negara-negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang lebih rendah seperti Kemboja, Vietnam dan banyak lagi.
"Adalah penting untuk menjelaskan ketidaktepatan laporan media tentang harga gula untuk pengeluar F&B di Sarawak. Pengeluar gula tempatan menjual gula pada kos lebih rendah daripada RM2.70 per kilogram yang dilaporkan kepada pelanggan industri di Sarawak, walaupun kos logistik yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, gula adalah barang terkawal di Malaysia dengan harga siling gula ditetapkan oleh Kerajaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatatan 2011.
"Industri gula adalah perniagaan kitaran dan harga gula mentah yang rendah pada pasaran global hanya disebabkan oleh lebihan sementara di pasaran global.
"Sebenarnya harga gula mentah global pada purata AS$331.35 per tan metrik (RM1,325.42 per tan metrik) di tempat asalnya dalam tempoh lebih tiga tahun dan dijangka akan terus meningkat pada masa depan,” katanya.
Katanya, pengeluar gula tempatan telah menyerap turun naik dan perbezaan harga di antara pasaran dunia dan harga siling tempatan termasuk faktor pertukaran asing (Fx) selama bertahun-tahun dan ini adalah punca utama kerugian yang dialami oleh sesetengah kilang dan bukan sebab tidak berkemampuan seperti yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
"Komponen utama memastikan gula berkualiti untuk pengguna adalah standard pembuatan yang tinggi dalam pengeluaran gula termasuk pensijilan halal yang merupakan keperluan kritikal bagi pasaran Malaysia.
"Oleh itu, gula yang dibawa oleh syarikat-syarikat yang diberikan AP mungkin tidak mempunyai sijil halal yang diperlukan dan walaupun mereka ada, masih diragukan sama ada mereka adalah sah.
"Pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati apabila membeli dan mengambil produk yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat F&B ini,” katanya.
Sehubungan itu, pengeluar gula tempatan menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan itu untuk penyelesaian jangka panjang kepada keadaan industri.
"Dalam jangka pendek, langkah bersifat populis itu akan menyebabkan industri terpaksa mengurangkan kos untuk bertahan. Ini termasuk pengurangan stok keselamatan untuk negara dan menutup kilang-kilang yang rugi bagi kos dan kapasiti.
"Ini tidak dapat dielakkan dengan membawa kesan negatif kepada negara dalam jangka masa panjang terutamanya apabila harga gula global meningkat. Jadi, ia adalah risiko buat negara yang kita tidak mahu ambil,” katanya.