BARU-BARU ini, penulis berkesempatan untuk menemubual tiga orang penterjemah. Pertemuan diatur di sebuah sekolah khas untuk pelarian Syria dan Palestin, Jasmine Ash-Sham Alternative Education Centre yang terletak di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Selain memiliki personaliti yang sopan, Hasrol Sazli Abdul Khail, Muhammad Afdhal Raimi Roslan dan Muhammad Khairul Iman Hussin atau Iman sangat fasih bertutur dalam bahasa Arab dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.
Apa yang menariknya, mereka bukanlah bergelar ustaz seperti kebanyakan orang yang arif dalam bahasa al-Quran itu.
Mereka hanya sukarelawan di pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Peace Mission (GPM) Malaysia. Meskipun menjadi penterjemah sambilan, namun penulis kagum dengan kehebatan mereka menguasai lebih daripada dua bahasa.
Secara sedar atau tidak, mempunyai kelebihan itu juga mengalirkan banyak pahala kerana pengorbanan mereka membantu GPM untuk mengenalpasti bentuk pertolongan yang diperlukan oleh pelarian Syria dan Palestin melalui perbualan bersama golongan kurang bernasib baik itu.
Kepada pelawat yang berbangsa Arab yang tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka juga individu yang tampil memudahkan komunikasi dua hala. Sesungguhnya, bagi penulis, penterjemah merupakan satu kerjaya yang mulia.
Kepada Sinar Islam, tiga anak muda itu berkata, selain seorang penterjemah harus memiliki piawaian tersendiri, kerjaya itu turut menuntut permainan emosi lantaran mereka bukan sahaja menterjemahkan kata-kata, malah perasaan pelarian yang berbekam rasa lara lazimnya, mengusik jiwa mereka.
Enam lahjah
Rentak bicara dimulakan dengan Hasrol Sazli, 34, yang memberitahu bahawa dirinya menjadi penterjemah sebaik sahaja menyertai NGO Malaysia Life Line For Syria (kini dikenali GPM Malaysia) sekitar tahun 2016."Ketika itu, belum ada lagi staf NGO yang boleh berbahasa Arab. Kebetulan saya boleh berbahasa Arab. Jadi, khidmat saya diperlukan untuk berurusan dengan orang-orang Arab yang tidak fasih berbahasa Inggeris tentang program-program yang ingin dijalankan," ujarnya yang pernah pernah menjadi guru bahasa Arab di sebuah sekolah swasta dan pusat tuisyen di sekitar Lembah Klang selama setahun.
Ujar Hasrol Sazli, ketika beliau menuntut di Mesir pada tahun 2006, bahasa Arabnya tidak begitu baik.
"Namun, apabila saya sudah bercampur dengan orang Arab lebih 10 tahun, menyertai kumpulan WhatsApp mereka dan tulis setiap perkataan baharu dijumpai, sedikit demi sedikit saya perbaiki bahasa Arab," imbau Pengetua Jasmine Ash-Sham Alternative Education Centre itu.
Percaya atau tidak, bukan sahaja bahasa Arab mudah diucapkan, malah beliau turut menguasai enam lahjah (dialek) bahasa berkenaan iaitu Syria, Palestin, Mesir, Yaman, Arab Saudi dan Jordan. Beliau juga boleh berbahasa Mandarin dan Inggeris.
Suara lelaki itu menjadi sebak sebaik ditanya apakah cabaran utama sebagai penterjemah yang memberi peluang kepadanya menemui ramai pelarian yang terseksa?
"Sebenarnya, saya jenis memang cepat sedih. Bila saya dengar kisah duka mereka (pelarian), saya akan sedih dan orang yang dengar (apa yang saya terjemahkan) pun akan sedih juga.
"Saya pernah menangis sebelum sempat saya terjemahkan input. Masa itu, saya kendalikan kes seorang ibu tunggal enam anak di Turki. Bayangkan suaminya sudah meninggal dunia dan anak-anaknya berusia antara dua hingga 12 tahun.
"Anak perempuan yang berusia 12 tahun dikahwinkan kerana tak mampu hendak dijaga. Dia dan anaknya yang berusia 11 tahun bekerja mencuci pinggan. Kisah itu benar-benar menjentik emosi saya," ujarnya yang kadangkala berulang-alik ke Syria dan Palestin untuk urusan terjemahan.
Ujar beliau, meskipun kerjaya itu hanya bersifat sambilan, beliau berasa puas.
"Saya dapat bantu orang dan fahamkan orang lain. Terus terang, saya jadi penterjemah bukan kerana untuk 'buat' duit tetapi untuk membantu orang dan memudahkan urusan orang lain. Paling penting, kita kena jujur pada diri sendiri. Orang tidak faham, jadi, peranan kita untuk ceritakan perkara sebenarnya," ujar beliau.
Rujuk kamus
Pengalaman yang direntas Hasrol Sazli hampir sama dirasai Muhammad Afdhal Raimi. Cuma, bezanya, beliau terpaksa mengharungi pelbagai liku sebelum menjadi penterjemah.Jejaka berusia 28 tahun itu pernah dua kali 'terkandas' dalam pengajian bahasa Arab dan pendidikan Islam masing-masing ketika mengambil Ijazah Sarjana Muda di Syria dan Yemen. Semuanya gara-gara pergolakan yang berlaku di dua negara tersebut.
"Ada sebab kenapa saya pilih belajar di Syria dan Yemen? Berdasarkan cerita orang yang berpengalaman, di sana kurang orang kita. Jadi, mahu atau tidak, kita kena bertutur dalam bahasa Arab. Lagi satu, saya lebih suka belajar dalam sistem 'mumarasah' (berlatih) iaitu belajar sambil bercakap," katanya.
Akui Muhammad Afdhal Raimi yang mesra dipanggil Raimi, portfolio sebagai penterjemah bermula sebaik beliau pulang dari Yemen.
"GPM Malaysia memerlukan khidmat penterjemah. Ketika itu, mereka ada program. Saya tak ingat di mana lokasinya tetapi ia melibatkan program pemeriksaan kesihatan membabitkan orang Arab.
"Dalam program sebegitu, doktor akan bertanya macam-macam tetapi mereka tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris. Itulah detik permulaan bagaimana saya mula menterjemah," ceritanya.
Menceritakan pengalamannya ketika menterjemah, kata Raimi, adakalanya beliau terpaksa merujuk Google Translate.
"Hendak jadi penterjemah bukan mudah. Walaupun kita faham bahasa itu tetapi ada masa-masa tertentu kita terpaksa akur. Mereka pun ada lahjah (dialek) sendiri yang kita tidak faham. Sama seperti di Malaysia yang ada pelbagai loghat. Ada sesetengah loghat, orang Melayu sendiri pun tidak faham. Apatah lagi bahasa Arab," ujarnya.
Kepada Sinar Islam, Raimi berkata,kadang-kadang beliau dihimpit perasaan was-was ketika menterjemah.
"Jika ada perasaan sebegitu, sebaiknya semak semula apa yang telah diterjemahkan. Jika ada yang perlu dibetulkan, kita hubungi balik orang yang berurusan dengan kita," ujarnya.
Kesungguhan
Dalam kalangan tiga penterjemah yang penulis temu bual, Iman adalah yang paling muda.
Ketika memulakan ceritanya kepada Sinar Islam, anak muda berusia 25 tahun itu berkata, pertuturannya dalam bahasa al-Quran itu 'biasa-biasa' ketika zaman persekolahan.
Namun, secara perlahan-lahan, beliau menguasai bahasa Arab ketika menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Terengganu.
"Saya mengambil pengajian Sejarah dan Tamadun Islam. Bila masuk universiti, saya agak terkejut pada awalnya sebab semuanya dalam bahasa Arab. Jadi, ia memaksa saya untuk belajar.
"Bahkan, jika lambat datang ke kelas, kami akan didenda bercakap bahasa Arab sehinggakan saya rasa mahu selalu datang lewat sebab itu sahajalah peluangnya untuk saya bertutur sepenuhnya dalam bahasa Arab dengan ustaz," ujarnya sambil tertawa.
Berdasarkan rekod, Iman memulakan kerjayanya sebagai penterjemah sambilan pada 2016 ketika menyertai sebuah NGO.
Iman meneruskan naratif ceritanya. Kali ini, beliau galak menyentuh tentang peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang tiga tahun sebagai penterjemah.
"Saya pernah berjumpa dengan orang Yemen buat pertama kali. Perbualannya menggunakan bahasa Arab 'pasar'. Dia ingat, saya faham. Namun, sebenarnya tidak.
"Saya cuba 'tangkap' apa yang dia cakap. Disebabkan tidak faham juga, saya minta dia cakap dalam bahasa 'fasahah' iaitu bahasa standard," katanya.
Pun demikian, ujar Iman, sebenarnya menterjemah isu-isu kemanusiaan paling menguji emosinya.
"Sebagai manusia biasa, apabila kita dengar luahan orang susah bercerita tentang kesusahan, perasaan kita akan terkait sama.
"Contohnya, apabila saya ke rumah seseorang, saya lihat, isi rumahnya kosong, tiada apa-apa. Apabila dia mula luahkan kesulitan yang dialami, kita mengerti kenapa dia berkata demikian.
"Walaupun dia bercerita dengan kita dengan nada yang tenang tetapi kita secara automatik faham perasaan sebenarnya. Apabila saya menterjemah segala butiran percakapannya, perasaan saya akan jadi lain. Saya seolah-olah bercakap bukan mewakili dirinya sebaliknya sedang berada di tempat dia," ujarnya.
Kepada satu soalan, anak muda itu menjawab tentang habuan besar dalam pekerjaan itu. Sambil tersenyum Iman menjawab:"Saya pernah dengar gaji penterjemah yang melakukan terjemahan secara langsung seperti persidangan memang berbaloi. Satu minit, ribuan ringgit.
"Itu yang saya dengar dulu ketika mengikuti satu taklimat di di sebuah institut. Namun, berapa jumlah sebenarnya, saya kurang pasti sebab saya hanya melakukan kerja ini secara sambilan sahaja."
Ujar beliau, beliau memasang satu matlamat yang dapat direalisasikan kelak.
"Besar harapan saya agar pada suatu hari nanti, saya berpeluang untuk menterjemahkan buku atau apa-apa bahan dalam bentuk penulisan pada masa akan datang," katanya.