SINGAPURA - Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu mengarahkan air minuman jenama Starfresh ditarik balik daripada pasaran selepas bakteria ditemui dalam sampel produk itu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
SFA mengatakan bahawa strain bakteria - Pseudomonas aeruginosa - dikesan dalam sampel produk itu, yang diimport dari Malaysia.
Agensi itu turut mengarahkan pengimport produk, Ekspor Radha, menarik balik semua produk yang terlibat.
Produk yang ditarik balik ialah air minuman 1.5 liter (luput 13 Mei 2021) dan minuman 500ml (luput 11 Mei 2021).
Pseudomonas aeruginosa adalah bakteria yang didapati dalam najis, tanah, air dan sisa kumbahan.
SFA mengatakan bahawa penggunaan produk yang tercemar dengan bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jangkitan, namun ia jarang mengakibatkan penyakit serius terhadap individu sihat.
Pengguna yang telah membeli produk berkenaan dinasihatkan untuk tidak menggunakannya. - Bernama