Terminal Bas Seremban perlu dinaik taraf

Iklan
Loke pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Terminal One Seremban.

SEREMBAN - Kerajaan negeri diminta untuk menaik taraf terminal bas Seremban dengan terminal baharu yang lebih moden dan canggih bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata bangunan yang berusia lebih 20 tahun itu sewajarnya dinaik taraf bagi membolehkan perkhidmatan yang lebih cekap dapat ditawarkan kepada pengguna, sama seperti negeri lain.

Iklan
Iklan

Katanya, keadaan di terminal bas Seremban dilihat tidak memuaskan, malah terdapat banyak rungutan yang diterima terhadap terminal bas di Terminal One ini.

"Terminal ini sudah terlalu lama, dan tidak dinaik taraf, sejak saya sekolah menengah lagi terminal ini sudah ada iaitu lebih 20 tahun, keadaan di terminal ini juga tidak memuaskan kerana terminal ini sudah terlalu lama.

Iklan

"Sudah sampai masanya kita perlu melihat bagaimana untuk menaik taraf terminal ini kepada sebuah terminal yang canggih dan moden seiring dengan perubahan masa, demi keselesaan pengguna.

"Ini adalah terminal untuk sebuah ibu negeri, lihat sahaja kebanyakan negeri lain mereka telah ada terminal bas yang moden dan canggih, tetapi di Seremban belum ada, jadi kita perlu fikirkan sesuatu untuk menaik taraf terminal ini,” katanya.

Iklan
MyBas Seremban

Tambahnya, lokasi terminal yang sedia ada ini merupakan tempat yang paling strategik, dan tidak perlu lagi untuk dipindahkan ke tempat lain.

Katanya, beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Seremban untuk melihat cara mana yang sesuai untuk mereka menaik taraf terminal ini dalam bentuk yang lebih moden dan canggih.

Siew Fook berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut pihaknya menggesa penglibatan pihak swasta dalam sama-sama membantu menaik taraf terminal ini, tanpa melibatkan dana pembangunan kerajaan.

"Di kebanyakan tempat lain, terminal-terminal yang moden dikendalikan oleh pihak swasta, mereka perlu melabur untuk menaikkan infrastruktur dan kemudahan dan kita ada satu ‘framework’ (di mana mereka boleh mengutip bayaran daripada parkir bas dan kereta serta menjana pendapatan melalui penjualan tiket secara online.

"Ada pelbagai cara untuk mereka meraih pendapatan, jadi ini merupakan satu galakan kepada pihak swasta untuk melabur dalam pembinaan dan menaik taraf terminal, jadi saya rasa Terminal One Seremban ini perlu dinaik taraf memandangkan keadaan yang tidak memuaskan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut memberitahu Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama mengunakan sistem ‘cashless’ bagi perkhidmatan bas awam, MyBas sepenuhnya, bermula tahun 2020.

Katanya, kempen kesedaran dan didikan akan dimulakan seawal mungkin bermula Ogos ini, bagi memaklumkan kepada seluruh penguna bas negeri ini bahawa tiada lagi pengunaan wang tunai semasa menaiki bas.

"Inisiatif yang dilakukan ini selari dengan usaha kerajaan menggalakkan lagi masyarakat tanpa tunai di Malaysia serta diyakini akan memberi pelbagai manfaat kepada orang ramai.

"Kaedah pembayaran elektronik itu akan bermula pada Ogos ini dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan untuk memberi masa kepada orang ramai membiasakan diri dengan peralihan terbabit,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu MyBas juga akan melancarkan satu aplikasi yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar pengguna bagi memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan bas berkenaan.

Aplikasi ini membolehkan orang ramai untuk mengetahui pergerakan bas hanya melalui telefon bimbit, serta dapat mengesan bila bas akan tiba ke perhentian mereka.