Pesanan terakhir Allahyarham A. Rahman Hassan

Iklan
Penghormatan terakhir kepada Allahyarham A. Rahman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai di sini hari ini.

"ALANGKAH sedihnya hati ku... Duka meliputi kalbu ku..."

Ini antara bait-bait lirik lagu berjudul"Tak Mengapa" dendangan penyanyi popular era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan, 73, yang telah menemui penciptanya pada jam 12.40 tengah malam tadi akibat komplikasi paru-paru dan lemah jantung.

Iklan
Iklan

Pemergian A. Rahman yang juga vokalis kumpulan Orkes Nirwana di Hospital Ampang (HA) di samping keluarga tersayang, diratapi seluruh Malaysia, terutamanya rakan-rakan artis yang tidak putus-putus hadir ke kediaman, masjid dan Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang terkenal kerana baik budi pekertinya.

Saat jenazah dibawa keluar dari kediaman di Taman Sri Ukay, Hulu Klang untuk dibawa ke Masjid al-Ansar Taman Keramat untuk disembahyangkan, isteri Allahyarham, Datin Fadilah Mansor tidak mampu menahan sedih kelihatan tiba-tiba rebah, namun, dia berjaya ditenangkan keluarga terdekat.

Iklan

Anak sulungnya, Khir Rahman atau nama sebenarnya Khairulizam Abdul Rahman berkongsi, Allahyarham bapanya ada menitipkan pesanan mengenai agama, bahasa dan ikatan kekeluargaan antara perkara yang kekal menjadi ingatan buat dirinya.

Katanya, pesanan tersebut akan diturunkan kepada anak-anak dan keluarga kerana perkara itu penting dalam menjalani kehidupan yang serba moden dan canggih pada masa kini.

Iklan
Penghormatan terakhir kepada Allahyarham A. Rahman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai di sini hari ini.

"Abah selalu ingatkan anak-anak untuk jaga agama kerana agama di atas kertas sahaja tidak memberi makna jika kita sendiri tidak amalkan perintah ALLAH.

"Beliau juga seorang yang pentingkan bahasa dan dia tak suka dengar bahasa rosak, cakap tunggang langgang, tatabahasa lari ataupun rojakkan bahasa,” katanya.

Khir berkata, sejak bapanya sakit pada awal Jun lalu, mereka sekeluarga sering berada disamping Allahyarham sehingga menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang tengah malam tadi.

Menurutnya, mereka sekeluarga sempat menyambut hari raya di Kepong dan Johor serta Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda yang dirinya sakit.

"Allahyarham sempat berpesan kepada cucunya untuk datang ke rumahnya untuk menyambut hari jadi pada hari ini 13 Jun dan para tarikh sama, ahli keluarga memang datang ke rumah tetapi bukan untuk menyambut hari kelahiran,” katanya sebak.

Ratusan tetamu dan rakan artis terdiri daripada penyanyi, pelakon dan selebriti veteran dan masa kini hadir memberi penghormatan terakhir kepada A. Rahman yang telah dijemput ALLAH pulang ke tanah abadi.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, Allahyarham akan dikenang sepanjang masa kerana lagu-lagu irama pop yeh yeh yang menjadi kegemaran rakyat tidak mengira usia.

"Saya sering mengikuti perkembangan seni Allahyarham dan kali terakhir bertanya khabar menerusi aplikasi WhatsApp pada 6 Jun lalu... dia memaklumkan keadaannya yang sihat.

"Saya terkejut dengan kehilangan ini kerana saya sendiri suka cungkil kembali semangat penyanyi lama dan kini negara kehilangan insan seni yang berbakat," katanya ketika ditemui selepas mengunjungi jenazah Allahyarham A. Rahman di kediamannya di Taman Sri Ukay Hulu Klang, di sini.

Penghormatan terakhir kepada Allahyarham A. Rahman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai di sini hari ini.

Antara rakan seperjuangan Allahyarham hadir bagi memberi penghormatan terakhir termasuk Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave, Datuk Jeffry Din, Datuk M. Nasir, Datuk Yusof Haslam dan Othman Hafsham, Datuk Jalaluddin Hassan, Salih Yaacob, Datuk Hail Amir dan Noor Kumalasari.

Sahabat seperjuangannya, Datuk Jeffry Din berkongsi, Allahyarham berhasrat mengadakan konsert pop yeh yeh secara besaran -besaran yang dirancang pada Julai atau Ogos akan datang, namun, perancangan ALLAH menginginkan sebaliknya.

"Saya rasa terkejut apabila seorang teman baik dan kawan seperjuangan, jadi kita berdoa kepada Tuhan agar rohnya ditempatkan di tempat terbaik.

"Beliau (A.Rahman) seorang insan yang baik dan lemah-lembut, dia juga pernah berpesan kepada saya supaya terus berjuang dalam industri seni ini," ujarnya.

Sementara itu, seniman tanah air, Datuk M. Nasir berkata, pemergian A. Rahman merupakan kehilangan besar buat industri hiburan Malaysia.

"Selain sebagai rakan artis, saya dan Allahyarham juga sama-sama menguruskan Yayasan Kebajikan Artis, kami berkawan baik.

"Awal Jun lalu kami berbual panjang bercakap soal semua perkara, beliau seorang pengkritik yang hebat demi memajukan industri kreatif," katanya.

A. Rahman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang. Kejadian yang berlaku pada jam 10 malam Isnin lalu, beliau diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Jenazah dikebumikan selepas pada jam 2.50 petang di tanah perkuburan yang turut menempatkan jenazah isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada 26 April 2013.

Penghormatan terakhir kepada Allahyarham A. Rahman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai di sini hari ini.