IPOH - Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Lahat di sini hari ini.
Kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa, V Segar, 54, yang berasal dari Taman Lintang, Sungai Siput (U) sedang melintas jalan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 29 tahun itu dalam perjalanan dari Batu Gajah menuju ke pusat bandar raya dengan melalui jalan terbabit.
"Setibanya di tempat kejadian, wanita terbabit telah terlanggar mangsa yang sedang melintas jalan dari kiri ke kanan jalan.
"Akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan pelbagai akibat kemalangan itu.
"Kenderaan terlibat diarah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk pemeriksaan Puspakom.
"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.