KOTA BHARU - Hubungan perpaduan antara Pas dan UMNO sangat luar biasa dan unik berbanding situasi dulu yang sering digelar sebagai ‘musuh tradisi’.
Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, persahabatan dan kemesraan dengan UMNO itu membuktikan Islam itu agama perpaduan yang menyatukan semua pihak.
"Seperti majlis hari ini juga, ia sangat luar biasa, tetapi ia benar-benar berlaku. Kita dikunjungi rakan politik yang dulu bercanggah, sentiasa berperang, (tapi kini) kita bersyukur sambutan rakyat cukup baik.
"Saya sangat bersyukur, semoga keadaan ini akan berterusan dalam majlis lain seperti kenduri, tahlil dan apa-apa majlis sekalipun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Majlis Sambutan Hari Raya Pas Kelantan yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi di Pas di Pusat Tarbiah Islamiah di sini hari ini.
Hadir sama, kepimpinan tertinggi UMNO dan BN yang diketuai Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurutnya, berdasarkan keadaan itu, banyak kerja kebajikan untuk perpaduan ummah boleh dilakukan bersama sekali gus menjadi kunci kebahagiaan rakyat.
"Buat masa ini tiada perkara berbangkit melibatkan sokongan ahli mengenai perpaduan yang terjalin, dan jika ada, ia tidak lebih sebagai ‘asam garam’ dalam kalangan mereka," katanya.