KERAJAAN negeri menjangkakan Johor akan menjadi destinasi pelaburan syarikat China dalam sektor pembuatan menjelang hujung tahun ini susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Exco Pelaburan, Jimmy Puah Wee Tse berkata banyak syarikat yang mahu mengelakkan tarif sehingga 25 peratus ke atas senarai barangan import berbanding 10 peratus sebelum ini yang dikenakan AS.
"Kita ambil peluang susulan perang perdagangan antara AS dan China. Kita dapati banyak syarikat yang ingin keluar dari China untuk mengelak tarif yang tinggi sehingga 25 peratus ke atas produk-produk bernilai pasaran AS$200 bilion.
"Kita sedang usaha untuk 'close deal' buat masa ini. Saya yakin pada masa akan datang, dalam hujung tahun ini kita akan nampak hasilnya," katanya pada sidang media di Dewan Perniagaan Cina Johor Bahru (JBCCCI), hari ini.
Katanya, melalui beberapa siri lawatan ke negara itu sejak Mac lalu, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan 10 syarikat gergasi pelbagai sektor.
"Sekurang-kurangnya 10 syarikat telah kami 'engage' daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan perabot, aluminium, hos air dan sebagainya.
"Malah dalam lawatan-lawatan itu, kita jalankan dialog bersama kira-kira 200 usahawan dan syarikat untuk menjelaskan bahawa Johor salah satu destinasi yang terbaik untuk melabur," katanya.
Katanya, kali ini Johor lebih memfokuskan kepada sektor pembuatan untuk dibawa masuk ke negeri ini.
"Kali ini kita lebih fokus kepada sektor pembuatan sebab sektor ini paling terkesan daripada kenaikan tarif itu. Memang banyak pertanyaan daripada syarikat yang berminat untuk melabur cuma kita tolong mereka mencari tapak sesuai dan dari segi kelulusan agensi-agensi.
"Perang perdagangan itu salah satu faktor utama yang menyebabkan syarikat-syarikat di China mahu mengalih risiko. Mereka mungkin berfikir untuk pindah sebahagian kilang keluar dari China, jadi kenapa tidak Johor di Malaysia?," katanya.