BANGI - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengesahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerima laporan berkenaan qazaf berhubung penyebaran satu video seks melibatkan seorang lelaki dengan individu mirip seorang menteri Kabinet sejak kelmarin.
Katanya, Jawi akan meneliti aduan tersebut mengikut bidang kuasa dan seksyen kesalahan berkaitan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan.
"Saya juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sewajarnya terhadap laporan (qazaf) yang telah dibuat.
"Buat masa ini, siasatan masih lagi di peringkat awal kerana kita juga belum dapat pastikan lokasi sebenar kesalahan itu dilakukan.
"Mengikut undang-undang Islam jika kesalahan (syariah) berlaku di sesebuah negeri, ia akan tertakluk kepada bidang kuasa agama di negeri tersebut,” katanya pada sidang media sebaik selesai Majlis Zakat Korporat 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, jelas Mujahid, Jawi mempunyai prosedur untuk memanggil kedua-dua pelaku jika didapati terlibat dengan kesalahan syariah seperti yang didakwa itu.
"Siasatan akan ada prosedur, itu pun kena disahkan dulu kejadian seks itu berlaku di mana.
"Siapa yang bersalah dalam hal ini perlu diambil tindakan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mujahid turut menasihatkan semua pihak terutamanya umat Islam agar berhenti menyebarkan video berkenaan.
"Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, kita harus berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan serta merendahkan maruah kita dengan politik yang menjijikkan.
"Lebih membimbangkan ialah masyarakat kita kini langsung tidak mempunyai rasa malu apabila secara terbuka dan terang-terangan membuat pengakuan melakukan maksiat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha politik Azmin buat laporan qazaf
Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi membuat membuat laporan qazaf berhubung penyebaran satu video lucah melibatkan seorang lelaki dengan individu mirip seorang menteri Kabinet sejak kelmarin.
Laporan qazaf itu merupakan tindakan susulan yang dibuat selepas satu laporan polis dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.
Menurut Mohammad Hilman Idham yang merupakan pegawai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedua-dua laporan itu dibuat agar membolehkan kertas siasatan dibuka terhadap penyebaran video tersebut.
"Tindakan membuat laporan polis dan qazaf ini dibuat di atas kapasiti saya sebagai setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke atas tuduhan palsu dan fitnah jahat yang dibuat terhadap menteri (Azmin).
"Saya telah menyerahkan laporan kepada pihak polis dan percakapan saya juga telah dirakam sebagai saksi. Kita akan memberikan kerjasama yang terbuka kepada polis dan Jawi di atas segala siasatan yang akan dilakukan,” katanya pada sidang media.