BESUT - Perbelanjaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Australia kini sudah mencukupi hasil sumbangan kerajaan negeri dan rakyat Malaysia.
Siti Fatimah Mohamad Nor, 65, meninggal dunia di rumah anaknya kira-kira jam 2.59 petang waktu Australia (5.50 petang waktu tempatan) di Melbourne pada 11 Jun lepas.
Anak perempuan Allahyarham, Zarina Abdul Ghani, 35, berkata, pihak keluarga bersyukur kerana dana untuk menampung kos urusan membawa pulang arwah ibunya ke Malaysia sudah mencukupi kira-kira RM31,000 seperti yang diperlukan.
Anak keempat dari tujuh beradik itu berkata, sebelum ini ahli keluarganya buntu mencari dana untuk membiayai kos tersebut kerana mereka bukan dari kalangan orang berada.
Tambahnya, ibunya meninggal dunia selepas menunaikan solat Asar dalam bilik di rumah abang dan sebelum itu, dia ada mengadu rasa sejuk luar biasa.
"Mama pergi ke Australia pada Oktober tahun lalu untuk melawat abang dan adik-beradik lain yang berada di sana sejak lima tahun lalu.
"Abang sulung kami berusia 42 tahun membuka perniagaan makanan secara kecil-kecilan dibantu lagi dua adik-beradik sementara seorang adik melanjutkan pengajian di kolej tempatan di sana,” katanya.
Zarina berkata, jenazah ibunya dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada pagi Rabu depan sebelum dibawa pulang ke rumah arwah di Kampung Lay Out Kuala Besut di sini.
Menurutnya, jenazah ibunya nanti akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Baru Kuala Besut pada hari sama.
"Awalnya, Mama mahu pulang sebelum puasa baru-baru ini dan berhasrat mahu solat Aidilfitri di masjid kampung ini tetapi hasrat itu tertangguh kerana seorang adik saya dan adik beradik Mama ke sana dua bulan lepas untuk beraya sebelum pulang bersama ke Malaysia,” katanya yang ditemui di rumah ibunya petang tadi.
Zarina berkata, jenazah ibunya kini di tempatkan di The Coroners Court of Victoria, Melbourne sebelum dipindahkan ke Sydney esok bagi urusan penghantaran pulang ke Malaysia.
"Mama pesan sebelum ini jika terjadi apa-apa kepadanya dia mahu jasadnya dikebumikan di tanah air,” katanya.