Perubahan dalam cara dakwah

Iklan
Ruangan analisis Sinar Harian yang disiarkan Selasa lalu.

SEJAK Gagasan Rahmatan Lil Alamin dijadikan pendekatan dalam pentadbiran kerajaan baharu pasca kejatuhan Barisan Nasional, ia menjadi polemik yang panjang.

Bermula daripada usaha pencurigaan kononnya rahmatan lil alamin ini dijadikan modal untuk meliberalkan orang Melayu, hingga kepada tafsiran rahmatan lil alamin sebagai pendekatan yang silap kerana kononnya menjadi Rahmatan Lil Kafirin atau lebih rahmah kepada orang-orang kafir.

Iklan
Iklan

Tulisan Taufik Asmady Abdul Aziz bertajuk Malaysia Baharu vs ‘rahmatan lil alamin’ dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 11 Jun 2019 adalah kesinambungan polemik tersebut.

Sesuatu perubahan sudah tentu mengundang polemik kerana manusia selalunya lebih selesa berada dalam zon yang sama.

Iklan

Namun zon yang sama tidak semestinya baik sepanjang masa untuk satu-satu bangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Baharu vs ‘rahmatan lil alamin’

Iklan

Dunia sekarang umpama sebuah kampung global yang sangat sengit persaingannya.

Jika kita tidak sedia berubah atau bersaing, kita pasti ditinggalkan. Kita suka atau tidak, ia terpaksa.

Kita berhadapan dengan banyak masalah. Belum reda masalah penagihan dadah dan pil kuda, masyarakat kita juga menjadi juara dalam kebejatan seks songsang dan penularan penyakit AIDS.

Ia adalah masalah kita orang Melayu Islam. Paling mendukacitakan, kelantangan slogan perjuangan Islam dan kepimpinan beragama tidak memberi sebarang rawatan kepada penyakit yang membunuh umat Melayu dari dalam itu.

Data dan angka penagih dadah dan asal-usul negeri pengamal LGBT menunjukkan pendekatan berslogan Islam dengan pengisian ceramah marah-marah dan doa laknat kepada ahli maksiat adalah pendekatan yang gagal di negeri itu sendiri.

Itu belum lagi disebutkan bilangan kes perceraian dan keruntuhan rumah tangga.

Maka kita terpaksa akui, dalam kita lantang bercakap tentang agama Islam dan pembangunan berteraskan Islam, masyarakat kita semakin jauh daripada agama.

Soalnya mengapa agama Islam dijauhi? Adakah Islam itu bersalah atau pendakwah Islam itu yang tersilap langkah? Adakah kita berdakwah dengan penuh keikhlasan atau kita berpolitik dalam dakwah dengan mengharapkan habuan atau undian?

Maka rahmatan lil alamin yang merupakan manifestasi kebangkitan dakwah tajdid yang lebih menghargai kemanusiaan, menghormati kepelbagaian, mendekati semua golongan (inklusif) adalah dakwah yang jelas lagi terang berdasarkan nas-nas al-Quran dan sunah Nabi junjungan SAW.

Itulah pendekatan rahmatan lil alamin yang merupakan tujuan asal pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada sekalian alam (Surah al-Anbiyaa: 107).

Kita juga diperintahkan supaya berdakwah dengan hikmah dan nasihat yang baik. (Surah al-Nahl: 125) Dakwah yang selama ini difokuskan untuk orang Islam yang sudah baik di masjid dan surau (secara eksklusif), dikembangkan kepada semua golongan secara inklusif, termasuk mereka yang hidup gelandangan, penduduk di kawasan-kawasan komuniti B40 yang miskin dan kurang pelajaran, masyarakat orang asal yang tinggal di hutan, bahkan juga golongan LGBT yang masih percayakan Tuhan.

Mereka semua perlu disantuni dengan pendekatan baharu yang mesra dan prihatin, bukan menyalahkan dan mengecam semata-mata tanpa usaha mendekati mereka.

Kita belum mendengar suara hati mereka yang juga mahu berubah dan menjadi orang baik-baik, sebaliknya kita suka berceramah menghina dan mencela mereka supaya masyarakat memulau dan menjauhi mereka.

Akhirnya apa yang kita dapat jika mereka disantuni gerakan-gerakan asing yang mendanai supaya mereka kekal dan berjuang menuntut hak-hak batil mereka?

Mereka terus ‘maju’ dengan sokongan agenda asing, kita pula kekal menjadi masyarakat yang hanya tahu bertempik dan berdemonstrasi dengan slogan agama tanpa agenda yang tersusun untuk menyelamatkan umat.

Idealisme beberapa kes disusun Taufik Asmady dalam tulisannya untuk menjustifikasikan pendekatan rahmatan lil alamin sebagai pendekatan yang tersasar atau belum begitu jelas sehingga menyebabkan umat Islam terasa dibuli atau tidak selamat.

Beliau mengakhiri tulisannya dengan persoalan yang menghantar mesej seolah-olah masyarakat Melayu Islam perlu mengalah dan bertoleransi demi menjayakan idealisme Malaysia baharu dan konsep rahmatan lil alamin.

Sebenarnya umat Melayu Islam tidak perlu mengalah atau apologetik, dengan syarat mereka mengenal ajaran sebenar agama mereka, Islam yang menawarkan rahmat untuk semua.

Monopoli agama untuk golongan agamawan politik sudah berlalu.

Agama ini sandarannya wahyu iaitu ayat-ayat al-Quran dan hadis sahih, bukan budaya Melayu atau pandangan seorang mufti yang meng'kafir harbi’kan orang bukan Islam tanpa hujah yang absah.

Kekuatan agama ini letaknya pada ketulenan ajarannya yang universal, inklusif, fleksibel dan rahmah.

Orang Melayu akan terus kuat jika mereka mengambil kekuatan daripada kemurnian ajaran Islam, bukan mengongkong ajaran Islam menurut kehendak mereka.

Sepatutnya Taufik Asmady sebagai seorang penganalisis media sosial boleh menangkap dengan mudah maksud serangan-serangan terhadap gagasan rahmatan lil alamin.

Hasutan kebencian orang Melayu yang cuba dibina puak pembangkang terhadap kerajaan dengan tuduhan kerajaan merestui dan mempromosi LGBT, Islam dibuli atau terancam dengan adanya wakil DAP menyerahkan kit bantuan Zakat Pulau Pinang dan majlis berbuka puasa di Gudwara Sahib adalah perjuangan demi survival pembangkang dalam sanubari orang Melayu.

Tanpa hasutan kebencian itu, pembangkang tidak akan hidup lama dan semakin menghampiri kepupusan.

Suka saya mengingatkan Taufik Asmady bahawa penerbitan setem bergambar gereja juga adalah satu lagi bukti Islam dibuli di bumi bertuah ini.

Jika persepsi warganet dan lontaran sambil lewa Mufti Perlis menjadi hujah dalam analisisnya tentang Islam dibuli dan terancam, adalah wajar setem bergambar gereja itu juga menjadi hujah paling bernas.

*Ali Muda ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)