KUALA LUMPUR - Presiden Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas dalam mendepani isu semasa yang menjadi perhatian umum kebelakangan ini.
Dr Ibrahim berkata, lebih banyak isu bakal ditimbulkan sekiranya Dr Mahahir terus mendiamkan diri terutamanya yang berkait sistem perundangan negara.
"Adakah Malaysia Baharu ini adalah zaman memeningkan rakyat? Terbaru ada dua isu yang mengejutkan selain isu-isu lain yang tidak selesai.
ARTIKEL BERKAITAN: Giliran Haziq buat laporan polis
"Isu pertama, pendedahan Peguam Syazlin Mansor yang mendakwa dianiaya oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dan kedua video seks yang mengaitkan seorang menteri," katanya ketika ditemui selepas menziarahi lima keluarga terdiri mangsa kebakaran rumah yang ditempatkan di dewan serbaguna Kampung Baru di sini hari ini.
Jelasnya, dakwaan Syazlin terhadap Peguam Negara yang menyebabkannya terpaksa menarik diri memberikan kesan kepada prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
"Sejauh mana prosiding inkues Adib ini mempunyai integriti kerana sudah ada saksi membuat laporan polis mendakwa diugut, Syazlin pula tarik diri selepas campur tangan Peguam Negara.
"Jadi sudah tentu perkara ini menimbulkan persoalan besar dalam soal sistem perundangan negara. Apabila melibatkan tuduhan kepada Peguam Negara maka Perdana Menteri tidak boleh mendiamkan diri," katanya.
Dr Ibrahim berkata, kegagalan kerajaan menangani isu semasa dengan bijak menyebabkan rakyat terus keliru.
"Jangan diam seribu bahasa dengan mengharapkan rakyat lupa dengan peristiwa yang berlaku. Beliau (Dr Mahathir) sepatutnya menggunakan ketegasan yang ada pada dirinya dalam menangani isu yang serius ini.
"Jangan tuduh ada pihak menangguk di air yang keruh dengan cuba mengambil kesempatan merumitkan dengan membawa isu ini kepada rakyat. Menjadi tugas dan peranan kita untuk bersuara dalam memastikan sistem perundangan kita berjalan seadil-adilnya," kata beliau.
Pada 27 Mei lalu, Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian Adib di hadapan Hakim Rofiah Mohamad ketika prosiding hari ke-37 inkues itu di Mahkamah Koroner Shah Alam.
Peguam Negara menerusi kenyataan pada 28 Mei lalu pula tampil menjelaskan kekeliruan dan spekulasi yang timbul berhubung penarikan diri Syazlin daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam prosiding inkues kematian Adib.
Syazlin mengubah keputusan untuk terus mewakili keluarga anggota Adib dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner yang bakal bersambung semula pada 26 Jun ini selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga arwah yang memerlukan khidmatnya untuk menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba berkenaan.