DUNGUN - Seorang pelajar Kolej Al-Quran Terengganu maut manakala abangnya cedera selepas kereta yang dinaiki melanggar sebatang tiang telefon dan pagar sebuah rumah tumpangan dalam kemalangan di Kilometer 64 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di hadapan Dahimah Guest House Kuala Abang, di sini.
Kemalangan kira-kira jam 5 petang tadi itu mengakibatkan mangsa, Ahmad Syaqiq Balkhi Ahmad Fauzi, 16, yang mengalami kecederaan dalaman bertarung nyawa selama dua jam setengah sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 petang.
Abangnya, Ahmad Baihaqi Fathi Ahmad Fauzi, 18, pula yang memandu kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketika kemalangan dua beradik itu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun dipercayai mahu pulang ke rumah mereka di Kampung Batu Tiong, di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu Ahmad Baihaqi Fathi hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian.
"Kereta mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang Telekom Malaysia (TM) serta pagar sebuah rumah tumpangan.
"Ahmad Syaqiq Balkhi yang mengalami kecederaan parah kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun namun disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan," katanya.
Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dilakukan, doktor mengesahkan kematian mangsa disebabkan kecederaan dalaman yang dialami.
Tambahnya, abang mangsa yang meninggal dunia yang juga pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut dihantar ke hospital sama dan hanya menerima rawatan pesakit luar.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.