Mujur polis jumpa dulu...

Iklan
Koperal Zainol Hafeze mendukung kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang ditemuinya ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar hari ini.

KUALA KANGSAR - Dua anggota polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang ditemui merayau sendirian berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah di sini, hari ini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, Koperal Zainol Hafeze Zainal dan Koperal Mohd Fareez Kamaruddin dari Balai Polis Kuala Kangsar sedang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan kanak-kanak terbabit.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, kanak-kanak tersebut ditemui berjalan sendirian dengan hanya berseluar dalam tanpa berbaju.

"Anggota bertindak membawa kanak-kanak terbabit ke balai sebelum berjaya mengesan kedua ibu bapanya dengan bantuan penduduk kampung berhampiran.

Iklan

"Berdasarkan percakapan bapanya berusia 32 tahun, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan sendirian di rumah pada jam 1 petang sementara dia menghantar lampin pakai buang untuk anak bongsunya berusia tiga tahun di rumah pengasuh berhampiran,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit ditemui kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Kota Lama Kanan di sini.

Iklan

"Kanak-kanak tersebut telah selamat diserahkan kepada bapanya pada jam lebih kurang 1.50 petang di Balai Polis Kuala Kangsar,” katanya.

Terdahulu, gambar kanak-kanak didukung oleh salah seorang anggota polis telah tular di media sosial bagi mengesan keluarganya.