MELAKA TENGAH -"Kalaulah boleh diundurkan masa, saya takkan pilih jalan ini," luah seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Tiang Dua di sini.
Ahmad, 24, antara lebih 200 penghuni pusat itu yang ditemui ketika Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Puspen Tiang Dua, semalam.
Menurutnya, dia mula terjebak dengan najis dadah sejak dua tahun lalu kerana perasaan mahu mencuba.
"Saya terpengaruh dengan rakan sebaya ketika bekerja sebagai penjual tudung di Selayang, Selangor," katanya.
Menurutnya, walaupun sedih terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri berjauhan dari keluarga lebih-lebih lagi baharu sebulan dimasukkan ke dalam pusat itu namun reda demi untuk masa depannya yang lebih baik.
"Seperti hari ini, sedih bila mana keluarga tidak datang, tapi saya tahu mereka mungkin tiada kenderaan untuk datang dan saya minta maaf zahir dan batin kepada mereka.
"Sekurang-kurangnya bila saya di sini, saya dapat mempelajari ilmu agama termasuk dari segi rohani agar saya tidak berulang kali masuk ke pusat ini," katanya yang berharap dapat berdikari selepas keluar kelak.
Bagi bapa kepada lapan orang anak, Azli, 54 berkata, dia mula mengambil dadah sejak berusia 21 tahun yang pada mulanya sekadar mahu mencuba dan menganggap pengalaman menghuni pusat itu sejak lapan bulan lalu menjadikan dia seorang yang lebih positif serta belajar menerima ketentuan ALLAH dengan hati yang terbuka.
Menurutnya, sekiranya diberikan peluang kembali ke putaran waktu dia mahu merencanakan kehidupan keluarga yang lebih baik dan tidak akan mengecewakan isteri serta anak-anak yang berusia di antara 6 hingga 25 tahun.
"Saya betul menyesal dan yakin ada hikmah saya ditangkap di usia begini, mungkin jika ditangkap ketika usia muda tidak mustahil bila keluar semula saya menjadi lebih teruk.
"Sudah pasti bila hari raya saya teringin makan masakan sambal goreng isteri dan bersyukur keluarga sentiasa memberikan sokongan dan tidak mensisihkan saya untuk berubah menjadi hamba ALLAH lebih baik," katanya yang telah lapan bulan menghuni pusat itu setelah ditangkap dalam satu operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Puspen Tiang Dua, Datuk As'ari Ibrahim.
Sementara itu, As'ari berkata, pelatih yang ditempatkan di pusat tersebut bukanlah tujuan sebagai menerima hukuman namun medium untuk menambah baik mereka menjadi inidvidu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain setelah mereka keluar nanti.
Menurutnya, kerana itu model islamic spritual Rehabilitation Approach (ISRA) ditekankan dalam kalangan pelatih kerana dengan ilmu agama mampu menjadi nilai tambah yang lebih baik selain mendidik mereka celik al Quran.
"Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pelatih yang tidak celik al-Quran dan selama dua tahun mereka di sini, kehidupan bukan sahaja lebih baik malah mereka mempunyai ilmu agama yang boleh dipraktikkan.
"Tidak mustahil juga akan datang ada di antara mereka menjadi bilal dan sebagainya dan kita mengharapkan agar keluarga serta masyarakat menerima mereka supaya mereka tidak terlibat semula dengan penagihan dadah," katanya.
Pada majlis itu, tiga pelatih turut mencatat sejarah tersendiri apabila diberikan pembebasan oleh pihak Puspen.