ALOR GAJAH - Pada musim perayaan ini, juadah sate pasti menjadi kegemaran ramai dan turut menjadi pilihan mereka yang ingin mengadakan majlis rumah terbuka.
Pengusaha Fahmy Sate Alor Gajah, Mohd Fahmy Puteh,37, berkata, sepanjang Syawal sate yang diusahakan sejak tahun 2012 terus mendapat sambutan dan juga tempahan masyarakat sekitar.
Menurutnya, lebih menarik dia turut meneruskan usaha berkongsi rezeki dengan bersedekah menerusi jualan sate 50 sen itu.
Katanya, memandangkan sepanjang Syawal dia mendapat banyak tempahan termasuk pada Majlis Rumah Terbuka Ketua Menteri di MITC baru-baru ini, dia kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan jualan sate 50 sen bagi secucuk sate ayam yang mula dilakukan pada Ramadan lalu.
"Benda baik apa salahnya saya teruskan dan saya percaya bila saya turunkan harga dari 90 sen secucuk pada hari biasa kepada 50 sen pada setiap Jumaat pasti orang dapat beli dalam kuantiti yang banyak dan mereka juga boleh bersedekah kepada orang lain.
"Setidak-tidaknya cara ini saya dapat mempromosikan sate dalam masa sama membuat pahala kepada pelanggan pada setiap hari Jumaat," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Tambahnya, walaupun berjaya memperkenalkan sate ikan tuna namun mengakui sate ayam dan daging tetap menjadi permintaan bagi majlis rumah terbuka yang dihasilkan menggunakan resepi warisan keluarga.
Menurutnya, selain ikan tuna turut terdapat sembilan jenis sate yang dijual di kedainya di Medan Selera Pasar Menggong Alor Gajah termasuk sate perut, kerang, kambing, rusa, arnab selain sate belut liar.
"Bagaimanapun belut liar sukar dapat bahan mentah namun sekiranya mendapat permintaan dia akan berusaha untuk menyediakan demi kepuasan pelanggan.
"Selain di kedai ini, pelanggan juga boleh mendapatkan sate di kios Jelatang, kios kuih udang dan kios di pengkalan," katanya.
Dalam pada itu Mohd Fahmy juga berharap bantuan peralatan membuat sate termasuk mesin kisar daripada Jabatan Perikanan yang pernah dipohon sebelum ini dapat dipercepatkan bagi meningkatkan kuantiti dan juga hasil jualannya setiap hari.
"Sebelum ini saya dimaklumkan ia telah diluluskan namun sehingga sekarang belum menerimanya, kalau dapat mesin kisar ia benar-benar membantu kerana setiap hari kira-kira 10 hingga 15 kilogram kacang saya perlu kisar untuk membuat kuah kacang.
"Bila ada bantuan mesin yang dianggarkan RM15,000 akan mempercepatkan lagi proses membuat sate dan percaya ia akan lebih berkualiti memandangkan hampir setiap tahun saya terpaksa membeli baharu lebih lima mesin kisar yang selalu rosak," katanya.