MENGINGATKAN pengalaman bersalin cukup ngeri dan menakutkan serta sakit kontraksi yang dialami membuatkan ibu cuak. Meskipun begitu ibu tetap harus melalui proses kelahiran.
Bagi memudahkan ibu bersalin, amalkan cara bersenam agar proses kelahiran menjadi lancar:
Senaman ini bukan sahaja berguna untuk ibu hamil, malah kepada semua orang. Semasa hamil, otot-otot pelvik menjadi lemah kerana menampung beban. Akibatnya, seseorang itu akan mudah terkencing semasa bersin atau batuk. Senaman ini akan membantu menguatkan otot-otot pelvik. Caranya dengan melakukan kemutan. Tahan seperti menahan kencing dan bernafas seperti biasa. Lakukan dalam kiraan enam saat kemudian rehat dan ulang semula. Senaman ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
2. Melakukan regangan secara berbaring
Baring terlentang dan letakkan kedua-dua tangan di sisi. Tekuk kaki kanan dengan keadaan tapak kaki rata di atas lantai (membengkokkan lutut). Kaki kiri pula diluruskan dengan tapak kaki kiri ditegakkan ke atas sehingga jari kaki mengarah ke muka anda. Tahan seketika kemudian ulang semula dengan menekuk kaki kiri pula. Lakukan secara bergilir kaki kiri dan kanan.
3. Berenang
Ibu hamil sememangnya disarankan untuk berenang. Ini adalah kerana, berenang boleh memberikan keadaan terapung atau dalam keadaan tanpa beban. Kawalan pernafasan semasa berenang akan dapat membantu semasa proses bersalin nanti kerana nafas yang panjang bakal diperlukan semasa meneran. Selain itu, berenang juga dapat menguatkan otot-otot semasa berada di dalam air. Tekanan air akan membuatkan otot anda bekerja lebih sedikit dari biasa.
4. Berjalan kaki
Bukan sahaja boleh mengeluarkan peluh, malah dapat membantu menggerakkan otot-otot yang bakal diperlukan semasa bersalin. Mulakan berjalan kaki secara perlahan dengan jarak yang pendek. Lakukan sebanyak tiga kali seminggu. Kemudian, anda boleh menambahkan sedikit kelajuan semasa berjalan dan juga menambah jarak. Senaman ini juga sesuai dilakukan di tempat berhawa dingin.
5. Menaiki tangga
Bersyukurlah jika lif di pejabat rosak sekali-sekali. Jika tidak, anda tidak mungkin mahu untuk menaiki tangga. Senaman ini tidak sesuai dilakukan awal kehamilan kerana dikhuatiri rahim ibu masih belum kuat untuk menghadapi tekanan semasa menaiki tangga. Menaiki tangga banyak melibatkan otot peha dan pelvik. Menaiki tangga dengan kerap tetapi tidak terlalu laju dipercayai dapat mempercepatkan bukaan perineum dan memudahkan proses bersalin.