PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) kini sedang mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduknya, Aruz.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, setakat ini kira-kira 52 peratus atau 13,000 daripada 25,000 tempahan yang diterima sudah dihantar.
Iklan
Iklan
"Kami berjaya mempercepatkan penghantaran Perodua Aruz kepada 110 unit sehari secara purata daripada 100 sebelumnya."Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pembekal untuk terus mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut Zainal Abidin lagi, Perodua Aruz mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan model syarikat itu menjadi antara SUV yang terlaris di negara ini.
"Kepada pelanggan kami yang dihargai, kami dengan rendah hati dan tulus ikhlas memohon maaf andai kenderaan baharu anda tidak berjaya dihantar."Syarikat sedang bertungkus-lumus untuk memaksimumkan pengeluaran dan penghantaran bagi memendekkan masa menunggu anda. Kami amat berterima kasih atas pemahaman, kesabaran dan kepercayaan anda,” katanya.
Kecekapan bahan api Perodua Aruz 15.6 km/l yang terbaik dalam segmennya membolehkan ia diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Dengan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ditambah dengan Advanced Safety Assist 2.0 yang terdapat pada varian AV, Perodua Aruz diperakui dengan penarafan keselamatan maksimum ASEAN NCAP lima-bintang.
Tertakluk kepada angka rasmi Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua menjual sebanyak 22,943 kenderaan sepanjang Mei 2019, mengikut rekod kiraan. Ia menjadikan jumlah lima bulan pertamanya kepada 105,743 unit, lonjakan 8.5 peratus berbanding dengan jualan 97,487 unit dari Januari hingga akhir Mei 2018.