Jihad basmi kemiskinan Palestin

Iklan
Dua dari kiri Momen Faiz, Mohamed dan Suffian.

DUNIA kezaliman Israel lebih 70 tahun menjajah bumi Palestin belum berakhir, justeru sewajarnya usaha bersepadu dan kesatuan umat ditingkatkan bagi membantu bumi para anbiya ini.

Rakyat Palestin tidak boleh dibiarkan berjuang bersendirian, malah wajib mereka diberikan sokongan dan dorongan supaya perjuangan mereka dilihat, apa dibawa dan dituntut mereka disahut sama ada oleh kerajaan di luar dan pihak antarabangsa.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, bukan hanya memberi bantuan makanan, namun lebih penting peluang ekonomi kepada rakyat Palestin supaya boleh membina negara, memajukan diri sendiri dan masyarakat.

"Kita boleh bantu mereka teruskan perjuangan lebih besar dengan membasmi kemiskinan melalui sokongan kewangan dan itulah kita lakukan termasuk mengadakan program seperti malam ini.

Iklan

"Tujuan kita untuk mengumpulkan rakyat Malaysia dari pelbagai pihak untuk bersama-sama menyuarakan rasa perjuangan di samping dapat memberikan sumbangan besar supaya dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.

"Bagi makan malam amal ini, kita mensasarkan sebanyak RM200,000 sumbangan melalui lelongan potret karya Momen Faiz, dapat dikumpul dari penyumbang-penyumbang dan lelongan amal,” katanya.

Iklan

Suffian berkata demikian pada Malam Sejuta Potret 2018, Aman Palestin di Wow KL, ibu negara Ahad lalu.

Turut diadakan Jelajah Lensa Pejuang Momen Faiz iaitu siri jelajah dianjurkan oleh Aman Palestin dengan kerjasama pelbagai pihak bermula sejak 22 November 2018 sehingga ke 17 Disember 2018.

Hadir sama, Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Rudy Irwan dan wakil kedutaan Palestin Di Malaysia & Kauselor Pertama Kedutaan Palestin Di Malaysia, Mohamed Abu Daggah.

Selain perkongsian oleh wartawan dan jurugambar orang kurang upaya (OKU) warga Palestin yang berpengalaman, Momen Faiz, Aman Palestin juga menganjurkan pameran-pameran yang berlangsung hingga akhir bulan ini.

Dalam pada itu, Suffian memaklumkan dua projek infrastruktur turut diusahakan pihaknya iaitu hospital psikiatri dan Masjid Sheikh Ijlin yang dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan.

Pertahan Masjid Al-Aqsa

Bukan saja terkepung dengan zionis Israel, tetapi kancah kemiskinan, justeru sewajarnya rakyat Malaysia, malah seluruh dunia memberikan bantuan dan sokongan.

"Harapan Aman Palestin agar usaha ini bukan saja dapat berkongsi ilmu, malah program dilaksanakan ini dapat memberikan impak besar dalam diri umat Islam di Malaysia khususnya berjuang dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan keseluruhan Palestin.

"Demonstrasi demi demonstrasi oleh rakyat Palestin dengan harapan mereka dapat memiliki semula tanah mereka yang dirampas oleh Zionis Israel,” kata Suffian.

Menurutnya gerakan Great Return March merujuk kepada gerakan besar-besaran dirancang rakyat Palestin dan mula dilaksanakan pada Mac 2018.

Tujuan lainnya tidak lain hanya untuk menghadapi tentangan dilakukan oleh zionis Israel dan berjuang dalam mendapatkan semula hak mereka di tanah air sendiri.

"Perjuangan dalam Great Return March bukan sekadar demonstrasi biasa, tetapi melibatkan nyawa dan darah. Walaupun jumlah korban dan kecederaan meningkat, ia tidak sedikit pun melunturkan semangat perjuangan rakyat Palestin dalam mendapatkan semula hak mereka.

"Anak muda khususnya di negara kita harus sentiasa sedar supaya akan ada perjuangan mempertahankan Islam, sama seperti Momen Faiz walaupun dia kehilangan kedua kaki akibat serangan tentera zionis,” katanya.

Menurutnya, Aman Palestin menghargai sumbangan dalam memperjuangkan isu Palestin dan mengalu-alukan sokongan yang diharap semoga benih-benih perjuangan tetap subur untuk menyalakan semangat jihad.