IPOH - Penemuan serpihan tulang manusia di Gua Kandu, Gopeng pada 20 April lalu disahkan bukan milik Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau dikenali sebagai Acap.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil laporan Jabatan Kimia Malaysia mendapati asid deoksiribonukleik (DNA) tulang yang dijumpai itu tidak sepadan dengan DNA ahli keluarga Acap.
"Hasil laporan yang diterima polis mendapati DNA tulang tersebut tidak sepadan dengan DNA ibu Acap, Siti Maznah Khamis serta abangnya, Mohammad Azlan.
"Melalui kaedah bedah siasat dan ujian DNA telah mengesahkan bahawa serpihan tulang itu bukan milik Acap," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, semakan melalui data DNA gagal mengenal pasti pemilik sebenar tulang tersebut.
"DNA tulang tersebut tidak terdapat dalam data Jabatan Kimia Malaysia. Hasil analisa sampel tanah di lokasi penemuan menunjukkan warna tanah pada serpihan tulang dan lokasi penemuan adalah tidak sama.
"Ini mengesahkan serpihan tulang yang dijumpai tersebut adalah bukan berasal dari lokasi penemuan," katanya.
Polis menerima maklumat mengenai penemuan serpihan tulang manusia di Gua Kandu, Jalan Sungai Itek - Kampung Jahang selepas 28 hari kehilangan Acap, peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019.
Peserta dari Muar, Johor itu disedari hilang pada 23 Mac lalu selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat.
Gua Kandu merupakan antara kawasan tumpuan operasi pencarian pasukan penyelamat selepas dihentikan sepenuhnya pada 17 April lalu.