RAWANG - Dua lelaki berusia 15 tahun dan 44 tahun diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan di Sungai Buloh selepas dikesan berada berhampiran lokasi tumpahan merkuri di Pangsapuri Birchwood, Bandar Tasik Puteri di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.11 malam tadi, tiga lokasi di pangsapuri berkenaan dikesan terdapat tumpahan cecair raksa itu di bahagian tangga dari tingkat satu hingga tingkat bawah pangsapuri terbabit.
Iklan
Iklan
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syuhaizaal Ibrahim berkata, penduduk dilarang keluar dan masuk ke kawasan tersebut sepanjang operasi pembersihan dilakukan.
"Individu yang terdedah dengan bahan kimia merkuri boleh menyebabkan kesan jangka masa panjang seperti masalah kulit dan saraf.
"Pasukan bomba bertindak mengumpul tumpahan raksa tersebut sebelum membersihkannya menggunakan sulfur dan meneutralkan udara dengan campuran termasuk cecair peluntur," katanya.
Menurutnya, operasi selama hampir tujuh jam dan selesai sepenuhnya kira-kira jam 3.30 pagi itu membabitkan tumpahan merkuri yang dianggarkan sebanyak 1 liter.
"Operasi melibatkan sepuluh anggota dari BBP Batu Arang bersama 15 anggota Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Rawang dan Shah Alam. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.