Sungai kita tenat!

Iklan
Dr Ibrahim (tengah, berbaju putih, bersongkok) ketika program Sayangi Sungai Bernam.

KITA baru menyambut Hari Sungai Sedunia baru-baru ini. Harus saja tindakan proaktif diambil sebaik acara itu supaya ia tidak dilihat hanya ibarat melepaskan batuk di tangga.

Bagaimanapun, ibarat kian tenat, tahukah anda tahap pencemaran sungai-sungai di Malaysia kebanyakannya berada pada kelas III hingga V.

Iklan
Iklan

Maka pemeliharaan kualiti air sungai amat penting, memandangkan air sungai masih digunakan sebagai bekalan air dan ekosistem bagi nelayan sungai. Ini penting dalam meningkat mutu air sungai kepada kelas II dan I.

Pencemaran sungai dikategorikan kepada empat kelas; 1 dan II belum tercemar, III dan V tercemar secara serius.

Iklan

Sungai-sungai tercemar teruk di negara ini harus segera diberikan perhatian.

Pensyarah Geografi dan Alam Sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Madya Dr Hairy Ibrahim memberikan contoh, bagaimanapun ada cabaran perlu dihadapi dalam usaha ini.

Iklan

"Misalnya dalam merawat dan pulihkan Sg Tebrau di Johor yang punyai beberapa lembangan atau anak sungai antaranya Sg Plentong dan Sg Pandan, perlukan penglibatan semua agensi.

"Sungai mempunyai kepanjangan 33 kilometer mengalir dari Johor Bahru hingga Kulai itu tercemar akibat pembuangan sampah-sarap dan buangan. Justeru, Sg Tebrau ini perlu ambil masa bertahun dan lalui pelbagai peringkat dalam proses memulihkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program sayangi sungai dan pelancaran Rakan Sungai Bernam anjuran bersama Jabatan Geologi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan Upsi dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), Jabatan Saliran Air (JPS) Daerah Muallim dan komuniti Tanjong Malim, dirasmikan Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan Uspi, Dr Ibrahim Hashim, baru-baru ini.

Makin merosot

Dalam pada itu menurutnya, Sg Langat, antara menjadi sumber air mentah 149.3 km, tetapi bahagian air bersih hanya tinggal 49.3 km sahaja, manakala selebihnya 100 km sudah tercemar.

"Kualiti sungai makin tercemar dan kuantiti air bersih makin merosot bermakna kos rawatan air akan menjadi lebih tinggi.

"Ini cetus persoalan sama ada kerajaan akan terus mampu beri subsidi,” katanya.

Mengulas pemilihan Sg Bernam untuk menjalankan program, Hairy berkata, ia dipilih kerana terletak berdekatan Upsi malah, masih bersih dan digunakan sebagai kawasan nelayan.

Namun demikian, ada penemuan oleh nelayan dan NGO terdapatnya ikan mati di Sg Bernam dikaitkan dengan kemerosotan kualiti air.

"Dengan adanya program ini, ia diharap mampu membina kesedaran warga Upsi dan komuniti Tanjong Malim tentang pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.

"Selain itu, perhatian juga perlu dibuat terhadap aktiviti pembangunan di hulu Sungai Bernam yang boleh pengaruhi kualiti airnya dan memberi kesan pada ekosistem Sg Bernam termasuk ikan sungai dan hakisan,” katanya.

Menurutnya, tahap kesedaran masyarakat masih sederhana terhadap penjagaan sungai maka kempen dan usaha pihaknya ini antara membantu meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan sungai.

"Harapan kami masyarakat Malaysia hargai sungai ada di negara ini. Bukan hanya sungai jadi sumber air minum, tapi pemeliharaan semua sungai penting bagi ekosistem itu sendiri.

"Masyarakat harus sedar jika kotorkan sungai, itu akan sebabkan kehidupan dan ekosistem di dalamnya tercemar dan terjejas. Ini secara langsung mencemarkan rantaian makanan akhirnya sebabkan pelbagai penyakit,” katanya.

Tegasnya, tanggungjawab bersama menjaga kualiti air sungai.

Tegas didik ubah sikap

Secara amnya tahap pencemaran sungai di negara ini dilihat semakin meningkat. Itu ditegaskan Sahabat Alam Malaysia (SAM) antara NGO aktif di negara ini mengetengahkan isu-isu alam sekitar.

Pegawai Luar SAM, Zulkifli Yusuf berkata, antara sebab pencemaran ini, terutama sekali berpunca daripada penerokaan tanah oleh aktiviti penerokaan hutan seperti pembalakan, pembangunan di tanah tinggi, pertanian, perumahan, premis perniagaan selain kilang industri.

"Setakat ini tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan sungai amat rendah dan tidak memuaskan. Justeru, adalah perlu pihak kerajaan menganjurkan lebih banyak program pendidikan berkaitan perkara ini di samping menguatkuasakan undang undang sedia ada dengan lebih tegas dan berkesan.

"Harapan SAM agar Jabatan Alam Sekitar (JAS) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang sewenang-wenang membuang bahan kotoran atau sisa merbahaya ke dalam sungai,” katanya kepada Cakna Sinar.

Zulkifli berkata demikian ketika memberi komen berhubung tahap pencemaran sungai di negara ini sempena Hari Sungai Sedunia baru-baru ini.

Dalam masa sama, menurutnya, sungai-sungai di negara ini semakin kotor dan cetek akibat mendapan sisa buangan termasuk bahan plastik merbahaya.

"Kini keadaan sungai di Malaysia semakin dicemari lumpur akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan pelaksanaan projek pembangunan sehingga mengancam sumber perikanan dan sumber protein penduduk luar bandar.

"Semua sungai utama di setiap negeri di negara ini perlu diberi perhatian serius terhadap kebersihannya yang teruk tercemar seperti Sungai Klang di Selangor, Sungai Prai dan lain-lain wajar dipulihkan demi alam sekitar dan keindahan negara serta kesejahteraan hidup rakyat,” tegasnya.

Menurutnya, daripada statistik diterima pihaknya, pada 2009 sebanyak 54 batang sungai di negara ini mengalami pencemaran tetapi telah meningkat kepada 229 batang sungai pada 2016.

Pada setiap bulan SAM membuat tinjauan mengenai pencemaran sungai di negara ini dan menggesa pihak berkenaan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan jika SAM mendapati ada sungai yang tercemar.

"Sebagai contoh sungai di Sungai Petani dan Sungai Kuah di Langkawi Kedah yang tercemar telah diberi perhatian dan diambil tindakan oleh pihak berkenaan setelah menerima aduan daripada SAM,” katanya. -AG

Sungai paling bersih di dunia:

Sg Lijiang adalah sebuah sungai yang terletak di Guangxi Zhuang, China. Sungai ini mengalir sepanjang 83 kilometer dari Guilin ke Yangshuo.

Hulu Sungai Li dihubungkan dengan Sungai Xiang oleh Kanal Lingqu. Sungai ini juga dikenali dengan pemandangan alamnya yang sangat menakjubkan. Kapal-kapal pesiar melintasi Sungai Li sepanjang tahun, dan hal itu menjadikannya salah satu atraksi utama dari Guilin.

Sungai St Croix, Wisconsin dan Minnesota; St Croix pula adalah anak sungai dari Sungai Mississippi, dengan panjang mencapai sekitar 272 km. Sungai ini mengalir dari Wisconsin hingga ke Minnesota. Sungai ini berada di bawah perlindungan National Park Service.

Sg Tara di Eropah pula adalah sungai yang mengalir di Montenegro serta Bosnia dan Herzegovina. Panjang sungai ini mencapai 144 km, dengan 104 km berada di Montenegro dan 40 km berada di Bosnia dan Herzegovina. Sungai Tara pun membentuk sempadan antara kedua negara tersebut di beberapa tempat.

Tara River Gorge yang terletak di Sungai Tara, menjadi sungai terpanjang di Montenegro dan Eropah dan terpanjang kedua di dunia setelah Grand Canyon, dengan panjang mencapai 78 kilometer dan kedalaman 1.300 meter.

REAKSI

Semuanya bermula dengan sikap. Selagi tidak berubah, mereka takkan cakna. Sedih kalau tengok sungai di negara luar seperti Korea dan Jepun, cantik dan jernih, tapi di Malaysia seperti air teh tarik.”

- Pekerja kerajaan, Noor Afzan Zakaria, 39

Bukan setakat sungai, laut kita pun kotor. Harap pihak terbabit segera fikir mekanisme supaya dapat ubah masyarakat kita lebih prihatin. Kasihan pada generasi akan datang.”

- Norhani Mohd Ali, 24