Satu lagi mayat orang asli dibawa keluar hari ini

Iklan
Datuk Hasanuddin Hassan

GUA MUSANG - Satu lagi mayat orang asli dari suku kaum Bateq Kuala Koh akan dibawa keluar hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mayat Puja Jong, 22, yang sebelum ini dikebumikan secara adat akan dibawa keluar mengikut adat resam penduduk di kawasan itu.

Iklan
Iklan

Katanya, Puja antara 13 mangsa yang meninggal dunia akibat penyakit misteri yang melanda suku kaum Bateq di perkampungan berkenaan baru-baru ini.

Puja juga adalah mangsa kedua yang sebelum ini disahkan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru atau pneumonia pada 6 Jun lepas.

Iklan
Dia sebelum ini telah melalui proses bedah siasat namun dibawa semula ke hospital untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninjau dan mendengar taklimat tertutup di Pusat Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di dewan sama.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas perkembangan hari ketiga Ops Batek hari ini, Hasanuddin berkata, hasil maklumat awal, pasukan pencarian sudah mengenal pasti lokasi empat mayat terakhir.

Iklan

Hasil maklumat orang asli di kawasan itu, beliau berkata, lokasi dua mayat berada di seberang sebatang sungai, manakala dua lagi lebih jauh di pedalaman hutan.

Hasanuddin berkata, polis juga bersedia melanjutkan tempoh operasi jika terdapat kemungkinan bilangan mayat melebihi 12 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Statistik jumlah pesakit yang dipaparkan di Pusat Media di sini menunjukkan seramai 103 orang asli telah menerima rawatan sehingga semalam membabitkan 56 pesakit luar, 42 ditempatkan di wad biasa dan lima di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.