Kualiti minyak sawit Malaysia rendah, itu hanya persepsi

Iklan
Teresa (tengah) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif ExcelVite Sdn Bhd, WH Leong sempena lawatan beliau ke Hovid Berhad di Jalan Tunku Abdul Rahman semalam.

IPOH - Kementerian Industri Utama menyarankan agar lebih banyak penyelidikan mengenai minyak sawit negara dilakukan bagi meningkatkan keyakinan negara luar terhadap kelebihan nutrisi dan kualiti komoditi itu.

Menterinya, Teresa Kok berkata, disebabkan tidak banyak pendedahan dilakukan, sesetengah negara luar seperti China menganggap minyak sawit negara mempunyai kualiti yang rendah.

Iklan
Iklan

"Untuk mengubah persepsi ini, kita harus memberi penekanan yang lebih terhadap nilai nutrisi itu sendiri, salah satunya adalah dengan meningkatkan penyelidikan yang akan menghasilkan lebih banyak produk untuk diketengahkan.

"Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga boleh mendapatkan lebih banyak penyelidik termasuk dari universiti luar negara berhubung perkara ini... saya percaya jalinan penyelidikan seperti ini memudahkan produk kita memasuki pasaran mereka,” katanya kepada pemberita di sini.

Iklan

Menurutnya, bagi tujuan itu kementerian pada pembentangan Bajet tahun hadapan akan menghantar cadangan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian lebih banyak geran penyelidikan berkaitan minyak sawit.

"Ketika ini nutrisi yang ada pada minyak sawit seperti betakarotin dan vitamin E tokotrienol tidak banyak didedahkan manfaat dan kebaikannya, jadi perlu ada lebih penyelidikan apatah lagi industri sawit kini antara komoditi eksport utama negara dan berada pada kedudukan ketiga dari segi nilai eksport,” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihaknya telah pun menulis surat kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mendapatkan kerjasama dalam mempromosikan kelebihan minyak sawit kepada pelancong asing yang datang ke negara ini.

Jelasnya, antara yang ditekankan adalah dengan memberi latihan kepada pemandu pelancong dengan pengetahuan lengkap mengenai kebaikan minyak sawit negara untuk disebarkan kepada pelancong.

"Kementerian Pelancongan juga merasakan ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan kerana rakyat asing dan pelancong yang datang ke Malaysia kebiasaannya akan mendengar apa yang diperkatakan oleh pemandu pelancong, jadi pemandu pelancong perlu dilengkapi dengan maklumat selengkapnya berhubung kebaikan minyak sawit.

"Hanya melalui cara itu mereka akan dapat memberitahu rakyat asing dan pelancong kebaikan yang ada pada minyak sawit untuk diketengahkan," katanya.

Terdahulu, Teresa mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif ExcelVite Sdn Bhd, WH Leong sempena lawatan beliau ke Hovid Berhad di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Dr Kalyana Sundram dan Timbalan Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.