'Kami bersyukur Fahmi pergi dalam keadaan baik...'

Iklan
Norhayati (tengah) menunjukkan gambar Allahyarham anaknya, Mohammad Fahmi.

HULU TERENGGANU - Pelajar Terengganu, Mohammad Fahmi Faizuddin Asyraf Mhd Shukri, 24, yang meninggal dunia di Mesir kerana pendarahan otak dijadualkan pulang 3 Julai ini untuk bertemu keluarganya.

Ibunya, Norhayati Jusoh, 51, berkata, Fahmi mahu pulang ke kampungnya di Ajil, Hulu Terengganu sempena cuti semester selama tiga bulan dan telah membeli tiket kapal terbang.

Iklan
Iklan

"Tak sempat nak jumpa, arwah dah pergi dulu. Allahyarham ada hubungi saya menerusi panggilan video pada jam 12 tengah malam Rabu lepas, dia ada mengadu sakit kepala dan kaki.

"Sebelum ini, ada beberapa kali dia mengadu hal yang sama dan saya minta dia ke klinik dapatkan rawatan, tapi dia tak mahu dan hanya dapatkan air penawar daripada ustaz di sana.

Iklan

"Kelmarin (Rabu), saya suruh dia ke hospital untuk dapatkan rawatan dan dia pergi ditemani kawan serumah. Tak sangka pula keadaannya serius sampai dia pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Rumah Awam Kos Rendah Ajil, di sini hari ini.

Mohammad Fahmi merupakan penuntut tahun tiga jurusan Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Safarat, Hayyu Sabi'e, Kaherah, Mesir, jam 2 petang semalam (8 malam waktu Malaysia).

Iklan

Dia dikejarkan ke Hospital Safarat jam 2.07 pagi (Rabu, 8.07 pagi waktu Malaysia) oleh rakan serumahnya dan terpaksa menjalani pembedahan kerana dilaporkan mengalami pendarahan dalam otak.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pelembang Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir (KBMK) sebelum waktu Maghrib semalam (waktu Mesir).

Norhayati berkata, walaupun berat untuk menerima kehilangan anak sulungnya itu, namun dia dan suami, Mhd Shukri Husin, 54, reda dan bersyukur anak mereka pergi dalam keadaan baik.

"Dia seorang yang warak, selalu ke masjid untuk solat berjemaah dan tidak lekang dengan al-Quran hampir setiap masa. Dari kecil lagi, dia memang bercita-cita nak belajar di Mesir.

"Itu sajalah kerja dia. Balik dari surau atau masjid untuk solat jemaah, dia akan mengaji al-Quran. Arwah menghafaz 30 juzuk al-Quran dan Alhamdulillah, cita-citanya sejak kecil mahu menuntut di Mesir dimakbulkan, cuma tak panjang umur,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir Mohammad Fahmi pulang menyambut Aidilfitri Julai tahun lalu, sebelum kembali ke sana untuk menyambung pengajian pada Oktober.

Sementara itu, Norhayati dan suaminya akan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 7 pagi esok, sebelum menaiki penerbangan ke Mesir jam 3 petang esok dengan sumbangan tajaan kerajaan negeri.