"MESTI ada kecemasan," ujar pelakon, Yana Samsudin yang menerima panggilan dari Yong Peng pada jam 3.30 pagi Rabu ketika berada di Johor Bahru.
Menurut Yana juga merupakan isteri kepada pelakon Fadzil Zahari, 34, anak tersayang mereka, Aisy Mateen jatuh sakit.
"Mateen demam panas sangat sampai macam kena sawan. Mak kata badan dia keras kaku. Kami masa itu terus minta mak cari klinik 24 jam, sementara saya dan suami nak gerak dari JB.
"Tapikan, Yong Peng pekan kecil, jadi tak ada klinik 24 jam, nasib baik Klinik Kesihatan Yong Peng dekat juga.
"Kami sampai sana jam 5 pagi, masa sampai tu Mateen dah diberi ubat punggung. Doktor pun nasihatkan kami untuk terus bawa Mateen ke Hospital Pantai Batu Pahat. Sampai sahaja di hospital, Mateen sudah di warded," luah Yana di Instagramnya.
Pada masa sama, Yana turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya jangan ambil lewa anak demam.
"Yana nasihatkan pada semua, tak kiralah sudah ada anak atau dah bercucu ataupun tak kahwin lagi. Yang travel jauh atau nak tinggalkan anak pada penjaga, bawa ubat dan tolonglah bagi ubat ikut masa/dos yang ditetapkan (empat jam sekali!).
"Jika panas tak juga kebah, jangan selimutkan dan beri ruang udara panas untuk keluar. Kalau ada anak-anak yang pernah kena sawan pertama kali, peluang untuk kena kali kedua adalah tinggi! Ini dah kena stanby ubat macam ni.
"Check suhu pakai thermometer kalau 38' darjah je, kerap basah kan kepala dan bahagian pelipat seperti di celah ketiak atau kelengkang dengan tuala basah. Kemudian mengiringkan ke kiri, selepas tu masukkan ubat febrile fit suppository voren. Tuam dengan kain lembab dan jaga suhu biar turun.
"Kalau terkena sawan terus ke hospital, jangan tangguh lagi. Bahaya! Karang tak bernafas biru budak tu Allahuakbar sedihnya kalau berlaku!," jelasnya panik.
Yana turut mengambil peluang berterima kasih kepada petugas hospital yang telah menjalan amanah mereka dengan baik, selain mengharapkan doa orang ramai.
"Apapun mohon semua doakan anak saya sihat seperti sedia kala. Tak berat beban kami berbanding yang lain. Cuma nak berkongsi rasa dan ingatan kepada semua. Kalau anak demam tu jangan ambil ringan! Ingat empat jam sekali ubat minum sirap tu jangan putus.
"Terima kasih Doktor Soon Chong Chye, staff nurse Hospital Pantai Batu Pahat yang tolong jaga Mateen. Tak lupa juga doktor dan staff nurse di Klinik Kesihatan Yong Peng. Terima kasih juga kerana mendoakan kesihatan mateen," akhiri Yana.