CHRISTCHURCH - Tingkah laku pengganas Christchurch, Brenton Tarrant ketika muncul di mahkamah menerusi pautan audio video hari ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan jemaah masjid yang terselamat dan keluarga mangsa.
Tarrant kelihatan tersengih ketika dia mengaku tidak bersalah atas semua dakwaan yang dibuat ke atas dirinya.
Abdul Aziz Wahabzada, 48, menganggap Tarrant sebagai pengecut dan tingkah lakunya tidak boleh diterima.
Abdul Aziz dianggap wira kerana menghalang lebih banyak kematian ketika solat Jumaat di Masjid Linwood selepas mengejar Tarrant yang bersenjata sebelum menakutkannya sehingga memecut menaiki kereta.
"Dia tersenyum di mahkamah dan dia fikir dia gagah? Dia lari ketika berdepan dengan saya.
"Semasa hari kejadian dia lari ketakutan tetapi hari ini dia berdiri seperti seorang lelaki yang berani.
"Cuba kurung kami dalam bilik sama selama 15 minit dan kita tengok jika dia boleh tersenyum lagi," kata Abdul Aziz.
Tambah Abdul Aziz, beliau berharap lelaki terbabit dikenakan hukuman setimpal di atas jenayahnya. - Agensi