Saham Dunia vs Saham Akhirat

Iklan

MASYARAKAT kini berlumba-lumba mencari pelaburan yang boleh memberikan pulangan dan keuntungan yang tinggi. Mana-mana institusi atau individu yang berjaya meyakinkan orang ramai dengan pulangan keuntungan yang tinggi, maka berebutlah mereka memberikan duit untuk dilaburkan.

Dicanangkan pula teori tinggi risiko, maka tinggilah hasil pulangannya, maka ramai yang tidak mempedulikan risiko ditipu kerana dikaburi dengan janji pulangan yang menggunung.

Iklan
Iklan

Akhirnya pelaburan yang disangkakan memberi pulangan yang lumayan bertukar menjadi kerugian besar. Ada yang kehabisan wang simpanan, tergadai rumah dan tanah, malah ada juga yang sampai tahap jatuh muflis.

Itulah realiti yang berlaku kerana sifat tamak dan ingin cepat kaya maka diambil kesempatan oleh kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab untuk mengumpul duit orang ramai atas nama pelaburan. Akan tetapi hakikatnya hanyalah penipuan semata-mata.

Iklan

Justeru, sebelum memulakan sebarang pelaburan, semaklah dahulu daripada pihak berwajib bagi mengelakkan sebarang penipuan. Bertanyalah kepada mereka yang berkelayakan dan mempunyai ilmu dalam bidang tersebut.

Antara pilihan para pelabur dan pedagang hari ini adalah memiliki, membeli dan menjual saham. Saham adalah milikan perkongsian ke atas sesuatu syarikat. Terdapat pelbagai jenis bentuk saham di dunia. Saham yang diapungkan di Bursa, saham amanah, saham khas sesuatu syarikat dan lain-lain. Setiap saham ini adakalanya memberikan pulangan sama ada dalam bentuk dividen, bonus ataupun kenaikan nilai saham yang dimiliki.

Iklan

Saham juga mempunyai risiko. Kegagalan memahami dan menguruskan risiko tersebut juga boleh menyebabkan terdedah kepada kerugian. Namun itulah hakikat dunia pelaburan. Ada kala pulangannya sungguh lumayan, namun ada ketika kerugian tidak dapat dielakkan.

Saham Akhirat

Di dunia tidak ada satu pelaburan atau perniagaan yang pasti tidak akan rugi dan sentiasa memberikan keuntungan berlipat kali ganda. Namun ALLAH SWT telah menjanjikan satu perniagaan yang tiada tandingannya. Pasti tidak akan merugikan terutamanya di akhirat kelak.

Sepertimana firman ALLAH SWT bermaksud; Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada ALLAH dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama ALLAH dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) ALLAH akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga"Adn". Itulah kemenangan yang besar. (Surah As-Saff :10-12).

Perniagaan yang terbaik adalah khusus buat orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan hari Akhirat. Mereka yang membelanjakan harta mereka pada jalan ALLAH SWT serta mengorbankan diri mereka untuk membela agama ALLAH SWT. Pulangannya adalah pengampunan daripada ALLAH dan dikurniakan syurga sebagai tempat istirehat.

Di dalam ayat lain, ALLAH membuat perumpamaan ganjaran bagi orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH SWT.

Bandingan (sedekah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan ALLAH Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (Surah Al-Baqarah: 261).

Inilah saham akhirat yang tidak mempunyai risiko akan tetapi nisbah keuntungan 700% dan lebih sepatutnya menarik perhatian ramai untuk memilihnya. Ternyata sesiapa yang memberi kerana ALLAH, pasti akan mendapat pulangan dunia dan akhirat.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada ALLAH sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya ALLAH melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), ALLAH jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Surah Al-Baqarah: 245).

Zakat Saham

Inilah sinergi yang perlu ada pada diri orang yang beriman. Menjadikan saham yang dimiliki di dunia memberi manfaat buatnya di akhirat. Dengan menunaikan zakat ke atas saham yang dimiliki. Secara asasnya zakat saham dikira daripada jumlah nilai keseluruhan saham yang dimiliki ketika penghujung haul. Sekiranya jumlah nilai saham yang dimiliki itu melebihi kadar nisab tahunan, maka diwajibkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5%.

Bagaimana sekiranya pemilik saham tersebut menanggung kerugian akibat susut nilai daripada harga saham semasa syarikat yang dimilikinya? Menurut pandangan syarak, zakat tetap dikenakan sekiranya jumlah harta yang dimiliki telah cukup nisab ataupun melebihi nisab. Sekalipun kita menanggung kerugian, seandainya kita memiliki nisab, maka diwajibkan ke atas kita untuk keluarkan zakat ke atas harta yang ada. Yakinlah, zakat yang dikeluarkan itu pasti akan meluaskan lagi rezeki kita sepertimana yang telah ALLAH janjikan. Sabda Nabi SAW;

Barangsiapa tujuan hidupnya adalah dunia (semata-mata), maka ALLAH akan mencerai-beraikan (menyukarkan) urusannya, menjadikan kefakiran di antara kedua matanya, dan ia tidak mendapatkan dunia kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya. Barang siapa yang niat (tujuan) hidupnya adalah negeri akhirat, ALLAH akan mengumpulkan (mempermudahkan) urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan tunduk kepadanya. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).