Bertemu 'cinta hati' selepas 75 tahun

Iklan
Robbins bertemu dengan bekas kekasihnya selepas berpisah selama 75 tahun.

PARIS - Seorang askar muda Amerika Syarikat (AS) jatuh cinta kepada seorang gadis berusia 18 tahun ketika dia mula ditempatkan di sebuah pekan kecil di Perancis semasa Perang Dunia Kedua, lapor akhbar Daily Mail.

KT Robbins berusia 24 tahun ketika dia mula jatuh cinta pandang pertama kepada Jeannine Ganaye, di bandar Briey, timur laut Perancis pada tahun 1944.

Iklan
Iklan

Pasangan itu bertemu kembali dalam suasana penuh emosi di rumah penjagaan warga emas yang dihuni Jeannine yang kini berusia 92 tahun di Perancis baru-baru ini.

Masih menyimpan rasa kasih sayang walaupun sudah lama berpisah.

Hasrat Robbins, 97, untuk bertemu semula dengan kekasih hatinya itu selepas 75 tahun tercapai dengan bantuan sekumpulan wartawan Perancis.

Iklan

Lelaki itu kembali ke Perancis bagi menyertai sambutan ulang tahun memperingati pendaratan tentera Berikat di Normandy, utara negara itu.

Robbins dan Jeannine saling jatuh cinta pada penghujung Perang Dunia Kedua tetapi askar AS itu terpaksa meninggalkan kekasihnya untuk menyertai pertempuran di Medan Timur.

Iklan

"Saya katakan kepadanya, suatu hari nanti mungkin saya akan pulang untuk mengambil kamu, namun ia tidak berlaku,” kata Robbins kepada sebuah saluran televisyen Perancis.

Gambar menunjukkan Robbins dan Jeannine semasa Perang Dunia Kedua.

Jeannine pula berkata, apabila Roobins menaiki trak tentera dan meninggalkannya, dia menangis kerana amat sedih dan berharap lelaki itu tidak kembali ke AS selepas perang tamat.

Robbins bagaimanapun pulang ke AS selepas perang berakhir dan beberapa tahun selepas itu, dia berkahwin dengan Lillian yang menjadi isterinya selama 70 tahun sebelum wanita itu meninggal dunia pada usia 92 tahun pada tahun 2015.

Jeannine juga jatuh cinta lagi dan berkahwin pada tahun 1949. Wanita itu kemudian menjadi ibu kepada lima orang anak.

Bagaimanapun, Robbins tidak pernah melupakan gadis Perancis itu, malah gambar Jeannine sentiasa disimpannya.

Bekas kekasih itu meluangkan masa bersama beberapa jam sebelum Robbins menuju ke Normandy untuk menyertai sambutan ulang tahun tersebut. Dan mereka juga berjanji untuk bertemu kembali. - Daily Mail