LONDON - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di London pada Jumaat untuk lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom, diiringinya isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pegawai telah tiba lebih awal pada Jumaat untuk mengiringi Dr Mahathir dalam lawatan kerja itu.
Menurut para pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, atucara pertama lawatan beliau ialah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Majlis Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (Ireland)(UKEC) pada pagi Sabtu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.
Pada sebelah petang, Perdana Menteri akan melawat Galeri Dunia IslamYayasan Al Bukhary yang baharu di Muzium British di Bloomsbury, di sini.
Galeri itu yang ditubuhkan dengan sokongan Yayasan Al Bukhary dari Malaysia kini sedang membantu Muzium British mengatur semula pameran koleksi-koleksi penting warisan Islam, dan mencerminkan hubungan antara kebudayaan Islam dengan Dunia Purba di satu pihak, dan Kebudayaan Dunia Mediterranean dan Eropah di pihak yang lain.
Pada Ahad, selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Templewood Gardens di Camden, Dr Mahathir akan ke Universiti Cambridge kira-kira 100 kilometer dari situ untuk menyampaikan syarahan bertajuk"Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara” di Cambridge Union.
Pada Januari tahun ini, Dr Mahathir telah menyampaikan syarahan yang menarik perhatian di Oxford Union, persatuan debat yang anggotanya kebanyakannya adalah dari Universiti Oxford, universiti tertua di dunia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan, yang ditubuhkan pada 1096.
Syarahan di Cambridge itu dijangka menarik personaliti-personaliti dan ahli-ahli akademik terkemuka di UK selain para penuntut institusi pengajian tinggi, kata para pegawai Suruhanjaya Tinggi.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan asing, pada Isnin Perdana Menteri akan menghadiri sesi pertemuan dengan para pelabur dan pemain industri di UK yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Maybank bagi meneroka bidang-bidang yang boleh mengadakan kerjasama bagi memperkukuh perdagangan dua hala.
Sejak 10 tahun lepas, perdagangan antara Malaysia dan UK telah mencatat kadar pertumbuhan dua peratus setahun dengan jumlah dagangan dua hala tahunan bernilai dari RM12 bilion hingga RM17 bilion.
Menurut para pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia, jika masa mengizinkan, Dr Mahathir mungkin akan melawat bayi perempuan Ainul Mardhiah yang berjaya menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di sini untuk membuang ketumbuhan '’extragonadal germ cell tumour'’ di mulutnya, iaitu sejenis penyakit kanser yang jarang-jarang berlaku, sebelum beliau mengakhiri lawatannya. -Bernama