PONTIAN - 'Tak sangka ramai yang datang nak merasa durian," kata pemilik Dusun Durian Landak Kampung Sawah Pekan Nanas apabila dusunnya itu diserbu orang ramai pada hari raya pertama.
Abd Hadi Ahmad Sani, 42, berkata, buah durian yang gugur seminggu sebelum Aidilfitri memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman makan durian di dalam dusunnya itu.
"Lebih 100 orang datang pada hari raya pertama. Ada penduduk tempatan dan orang luar yang balik ke kampung antaranya dari Kuala Lumpur.
"Mereka semua cukup sporting datang ke dusun pakai baju raya. Asalkan dapat makan durian di dusun, baju raya kotor pun tidak kisah,” katanya.
Tambahnya lagi, gambar pada hari raya pertama di Dusun Durian Landak kemudiannya tular di media sosial menyebabkan dia tidak menang tangan memenuhi permintaan orang ramai yang mahu makan durian di dusun pada hari raya kedua dan ketiga.
"Seminggu Syawal tempahan sudah penuh. Penangan tular di media sosial. Makin ramai yang beritahu teringin nak rasai pengalaman makan durian di dusun ketika Syawal.
"Ada juga yang hubungi saya mahu membawa durian untuk dijadikan buah tangan ketika menziarahi sanak saudara di kampung,”katanya.
Terletak di kaki Gunung Pulai, lokasi dusun seluas 22.5 hektar itu sangat strategik kerana pokok durian tumbuh subur dan menghasilkan buah yang sangat berkualiti.
Abd Hadi memberitahu, dusunnya itu mampu menerima seramai 150 pengunjung dalam sehari dengan anggaran 500kg durian untuk dimakan dan dibawa pulang.
Menurutnya, tiada bayaran masuk dikenakan. Bagaimanapun orang ramai yang hendak menikmati durian boleh membeli durian dijual bermula dengan harga RM5 sekilogram.
"Syukur rezeki pada bulan Syawal memang tidak sangka, mulanya cuma hendak ajak saudara mara ke dusun pada hari raya pertama tetapi tidak sangka sambutan diberikan luar biasa,” katanya.
Durian berbuah sekali pada tahun ini
Amat mahir dengan sifat dan jenis-jenis durian, Abd Hadi memberitahu musim durian sejak beberapa tahun lepas tidak menentu disebabkan faktor cuaca.
Malah pada kali ini hanya durian kampung sahaja yang gugur.
Katanya, durian di dusunnya berbuah sekali pada tahun ini bermula pada bulan Jun dan dijangka berakhir pada bulan Ogos nanti.
"Tahun lepas, dua kali berbuah, tahun ini nampaknya cuma sekali sahaja berbuah. Hanya durian kampung sahaja yang gugur, durian musang king, IOI dan jenis-jenis yang lain masih belum gugur.
"Berdasarkan pengalaman saya, cuaca panas dan hujan tidak menentu menjadi faktor buah tidak menjadi pada tahun ini,” katanya.
Abd Hadi berhasrat untuk membuat kendurian rakyat seperti tahun lepas yang dibuat pada penghujung Syawal di mana dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
"Kendurian Rakyat pada tahun lepas mencecah ratusan ribu pengunjung yang hadir.
"Pada tahun ini, saya merancang untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Industri Asas Tani,”katanya.
Landak jadi tarikan dusun
Bercerita lebih lanjut mengenai asal usul Dusun Durian Landak, Abd Hadi berkata ia bermula pada dua tahun lepas setelah seekor landak masuk ke dalam kawasan dusunnya.
"Seekor landak masuk ke dalam kawasan dusun. Landak itu mudah didekati. Malangnya tidak lama selepas itu, landak menghilangkan diri.
"Menurut cerita orang lama di sini, haiwan seperti rusa, kancil dan landak kerap dilihat di kawasan dusun dan kebun di Kampung Air Putih ini kerana ia terletak di kaki Gunung Pulai,” katanya.
Jelasnya, kehadiran landak itu memberi idea untuknya mengetengahkan nama Dusun Durian Landak.
"Dusun Durian Landak cukup unik sebab ia gabungan nama durian dan landak. Jadi senang orang nak ingat.
"Pada masa sekarang ini saya turut membela dua ekor landak bagi membolehkan orang ramai melihat haiwan berkenaan lebih dekat,” katanya.
Bekas guru memandu
Abd Hadi Ahmad Sani, 41, berkata dia menunggu selama 17 tahun sebelum dapat mengutip hasil dusun durian yang merupakan milik keluarganya itu.
Katanya, keinginan untuk berbakti kepada tanah membuatkan dia sanggup berhenti kerja sebagai guru memandu di Taman Keramat Kuala Lumpur.
"Bila tengok dusun durian dipenuhi lalang dan tidak terurus. Terdetik di hati saya untuk mengubah keadaan itu. Saya mahu jadikan dusun dalam keadaan lebih baik.
Jelasnya, pelbagai rancangan sudah difikirkan bagi membangunkan dusun landak.
"Di Pontian, hanya dusun landak sahaja yang memberi peluang kepada pengunjung makan di dalam dusun. Sambil itu pengunjung boleh menikmati buah-buah lain seperti pulasan dan langsat.
"Bagi memenuhi permintaan pengunjung yang mahu bermalam di sini, sebuah bilik disediakan di rumah rehat. Malah kemudahan tandas juga disediakan bagi pengunjung,”katanya.