TEMERLOH - Majlis akad nikah seorang juruteknik kilang bertukar kecoh seketika selepas seekor ular sawa memasuki enjin kereta miliknya.
Kejadian berlaku di hadapan rumah di Taman Jaya 2 di sini kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Reptilia seberat tiga kilogram dengan kepanjangan 1.5 meter terbabit berjaya ditangkap anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin Temerloh.
Ketuanya, Penolong Penguasa Bomba, Hasnuddin Husin berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati reptilia terbabit berada di dalam enjin kereta jenis Toyota Vios.
Menurutnya, anggota terlibat menggunakan penjerut ular bagi menangkap haiwan reptilia berkenaan.
"Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular tersebut dan ia dilepaskan ke tempat selamat jauh dari penempatan awam," katanya.
Sementara itu, abang kepada pemilik kereta, Faisalaslam Jaafar, 29, berkata, pada mulanya ular terbabit berada di atas tayar kereta milik adiknya, Faisal Asymawi Jaafar, 25, yang menikah pada malam tersebut.
"Kemudian ia memasuki ke dalam kawasan enjin kereta dan syukur berjaya ditangkap walaupun kecoh seketika majlis malam tadi," katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga datang dari Johor ke majlis berkenaan.