KUANTAN - Usaha penyatuan ummah antara Pas dan UMNO adalah agenda terbesar yang memerlukan kerjasama semua peringkat parti.
Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh berkata, hubungan baik hasil permuafakatan Pas dan UMNO perlu dirancang dengan teliti supaya agenda al-Quran dan sunnah dapat dikongsi bersama.
Menurutnya, Pas terlibat aktif dalam usaha ta’awun siyasi atau kerjasama ke arah kebaikan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas selepas PRU14.
"Kita ambil pendekatan solidariti pembangkang bersama UMNO dan BN serta mana-mana pihak yang bersedia menerima dasar perjuangan Pas.
"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membentangkan konsep asas ta’awun siyasi dalam Liqa Fikri yang menjadi panduan jelas kepada kepimpinan parti di semua peringkat.
"Namun, ada juga yang keliru apabila melihat Dewan Muslimat Pas khususnya terlibat dengan program bersama Wanita UMNO sedangkan usaha ini mampu memperkasakan lagi agenda penyatuan ummah yang diikat dengan ‘hablun minallah’ dan semangat persaudaraan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali Ke-59 di Bukit Gambang Resort City hari ini.
Dalam pada itu, Nuridah berkata, Pas juga mengajak ahli UMNO khususnya wanita menghadiri program untuk merapatkan ukhuwah bagi memberi keutamaan atas cita-cita pelaksanaan dan penghayatan 7 Islam.
Menurutnya, jalinan diikat adalah satu konteks addin al-nisahah yang disabdakan Rasulullah SAW dan peringatan itu memberi manfaat sesama mukmin.