USAHA murni pelatih pakar bedah, Dr Amalina Bakri, 32, membantu adik Ainul Mardhiah, sembilan bulan yang menghidap Germ Sell Tumour mendapatkan rawatan pakar di London, di puji ramai.
Bagaimanapun dalam masa sama, ramai yang menilai tindak tanduk bekas pelajar cemerlang SPM 2004 tidak seiring dengan personalitinya yang tidak bertudung dan berpakaian seksi.
Perkara itu juga turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurut Mohd Asri atau lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, dia menerima banyak soalan mengenai kebaikan seorang doktor perubatan yang tidak sering dengan imejnya.
Biarpun tidak menyebut nama doktor berkenaan, namun ramai dapat mengaitkan posting tersebut dengan Amalina.
"Walaupun kita rasa persoalan seperti itu tidak wajar, namun itulah persoalan yang bermain dalam fikiran sebahagian mereka yang terkena versi kefahaman Islam yang bersifat punitif.
"Kadang-kala bukanlah salah mereka, sebab mereka telah dididik dalam versi kefahaman agama seperti itu. Kefahaman agama mereka bersifat begitu menghukum sesuatu kekurangan yang mereka lihat pada seseorang dan gagal melihat kebaikan-kebaikan lain yang ada pada individu yang sama.
"Versi kefahaman atau cara fikir seperti itu menjadikan mereka memilih satu amalan yang menjadi satu ukuran utama mereka seperti bertudung, atau menyokong perjuangan mereka atau seumpamanya.
"Itu dijadikan penentu tunggal bagi kebaikan dan keburukan seseorang. Segala amalan baik akan dinafikan jika tidak mempunyai ciri yang mereka pilih itu.
"Mereka itu lupa bahawa di akhirat kelak, ALLAH menimbang dengan adil setiap kebaikan dan kejahatan seperti yang ALLAH nyatakan dalam Surah al-Zalzalah. Mereka juga lupa al-Quran dalam Surah al-Qari'ah menyatakan bahawa sesiapa yang pahalanya mengatasi dosanya maka dia akan ke syurga.
Pahala mengatasi dosa
"Sesiapa yang sebaliknya, maka dia ke neraka. Ertinya, penilaian ke syurga bukan dibuat atas siapa yang tidak mempunyai dosa, tetapi siapa yang pahalanya mengatasi dosanya.
"Mereka lupa dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan selainnya Nabi s. a. w. memberitahu bagaimana diampun dosa pelacur kerana memberi minum kepada anjing yang kehausan hampir mati.
"Tentulah betapa lebih layak untuk mendapat keampunan seseorang yang memberi minum atau menyelamatkan nyawa manusia yang terancam jika dilakukan dengan jiwa yang kudus.
"Ya, dosa tetap dosa. Kita tidak menghalalkan dosa disebabkan sesuatu kebaikan yang lain. Namun, kita tidak boleh menafikan kebaikan seseorang disebabkan satu dosa yang lain.
"Boleh jadi orang yang kita lihat melakukan sesuatu dosa itu, dia lebih baik di sisi ALLAH disebabkan pahalanya yang lain atau kemurnian niatnya yang kita mungkin tidak tahu. Boleh jadi kita yang tidak melakukan dosa tertentu ini, lebih buruk di sisi ALLAH disebabkan dosa yang lain.
"Justeru, janganlah kita cuba menentu syurga dan neraka sesiapapun. Tugasan kita hanya memberitahu bahawa itu dosa, ini pahala.
"Pahala boleh membawa ke syurga, sementara dosa boleh membawa ke neraka. Beritahu apa yang ALLAH suruh dan apa DIA larang.
"Adapun kedudukan pelaku dosa dan pahala di sisi ALLAH, hanya DIA yang maha tahu. Dia Yang Maha Mengetahui hakikat keseluruhan hidup seseorang zahir dan batin. DIA yang mengetahui timbangan antara dosa dan pahala seseorang.
"Kemudian kita hendaklah kita tahu di sana ada dosa peribadi hanya antara hamba dengan TuhanNYA tanpa membabitkan hamba-hamba ALLAH yang lain.
"Dosa jenis ini mudah diampunkan oleh ALLAH. Di sana pula ada dosa yang membabitkan kezaliman antara kita dengan hamba-hamba ALLAH yang lain.
"Dosa ini tidak diampuni sehingga kita memohon kemaafan atau membayar pahala kita di akhirat kelak. Jika tidak, kita mesti menanggung dosa orang yang kita zalimi. Inilah yang Nabi s. a.w tegaskan dalam hadis riwayat Muslim.
"Maka, boleh jadi ada orang yang di mata kita lekeh disebabkan dosa peribadi seperti tidak menutup aurat, namun dia kurang melakukan dosa dengan hamba-hamba ALLAH yang lain.
"Boleh jadi orang yang kita pandang tinggi dengan penampilannya, tapi betapa banyak dosanya dengan hamba-hamba ALLAH yang lain.
Jangan menafikan kebaikan
"Justeru, janganlah kita menafikan kebaikan orang lain disebabkan sesuatu kekurangan yang kita lihat. Ini tidaklah bererti menjustifikasi dosa yang dia lakukan, tapi kita dituntut untuk adil dalam menilai orang lain.
"Dosa dinilai dosa, baik dinilai baik. Ada dosa tidak semestinya tiada kebaikan. Ada pahala tidak semestinya tiada dosa.
"Akhirnya, hendaklah kita sedar, kita semua sebenarnya pendosa. Cumanya, antara yang diketahui orang dan tidak ketahui oleh orang lain.
"Seperti mana kita mahu orang adil kepada kita, maka adillah kita terhadap setiap orang. Apa yang salah ia tetap salah tetapi tidak bererti menafikan kebaikan yang lain jika ada. Apa yang baik tetap baik, tetapi tidaklah menjustifikasi dosa yang lain," jawabnya.
Diharap penjelasan Dr Maza ini akan membuka mata banyak pihak terutamanya netizen yang cepat menjatuhkan hukum terhadap orang lain.