Jumlah pesakit orang asli meningkat 112 orang

Iklan
Orang Asli suku Bateq dari Kampung Kuala Koh menerima rawatan di Hospital Gua Musang sebelum dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani hari ini bagi tujuan pemantauan tahap kesihatan mereka. - Foto Bernama

GUA MUSANG - Jumlah orang asli suku Bateq yang dijangkiti penyakit tidak diketahui puncanya meningkat seramai sembilan pesakit kepada 112 orang pada semalam berbanding 103 orang pada Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, empat pesakit masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), masing-masing seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan tiga pesakit di Hospital Kuala Krai (HKK).

Iklan
Iklan

"Sementara itu, seramai 48 pesakit dirawat di wad biasa di HKK dan Hospital Gua Musang (HGM) manakala 19 pesakit ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) Gua Musang di sini.

"Baki 41 pesakit pula telah menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, statistik tersebut hanya merangkumi dua kematian yang telah disahkan sahaja dan tidak membabitkan 12 kematian yang lain.

Masyarakat orang asli suku Bateq mula menjadi perhatian selepas 14 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan penyakit yang tidak diketahui puncanya.

Iklan

Namun hasil bedah siasat terhadap dua mayat sebelum ini mendapati mangsa meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru (pneumonia). - Bernama