SHAH ALAM - Lelaki yang mengaku terlibat dalam video seks dengan individu mirip seorang menteri Kabinet dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan hari ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, pemeriksaan pihak hospital itu untuk siasatan berkaitan kes di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii.
Bagaimanapun, Huzir tidak menjelaskan butiran siasatan di HKL berkenaan.
"Pemeriksaan di HKL adalah prosedur biasa untuk Seksyen 377B Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu Huzir berkata, Haziq akan dibebaskan selepas selesai siasatan di HKL.
"Kalau siasatan selesai hari ini, dia akan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Semalam, Haziq, 27, ditahan di terminal pelepasan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 6 petang sebelum dia berlepas ke Manila, Filipina.
Huzir berkata, siasatan ke atas Haziq dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 377B memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sakit kesalahan.
Seksyen 292 Kanun Keseksaan adalah berkaitan kesalahan menjual dan sebagainya buku-buku dan sebagainya yang lucah dan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Seksyen 504 ialah bagi kesalahan dengan sengaja mengaibkan atau dengan niat hendak membangkitkan atau memecah keamanan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia pula ialah kesalahan berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap kesalahan itu yang diteruskan selepas pensabitan.