Pengguna dinasihat tidak beli, minum susu mentah belum masak

Iklan
Khalid

KLANG - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menasihatkan pengguna supaya tidak membeli dan meminum susu mentah yang tidak dimasak dan diproses dengan sempurna.

Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, ia berikutan terdapat kes pelanggaran susu kambing dikesan mengandungi bakteria 'brucella' di sebuah ladang ternakan kambing di Pulau Indah, di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Klang mengambil sampel susu kambing segar di ladang ternakan terbabit pada 13 Disember tahun lalu.

"Hasil analisa sampel yang dijalankan di Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan, Klang mendapati susu kambing itu mengandungi bakteria 'brucella spp' dan pihak ladang didapati melanggar Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983.

Iklan

"Kita mengingatkan orang ramai supaya tidak minum susu mentah berikutan insiden kejadian wabak 'brucellosis' melibatkan lapan orang yang mengalami simptom akibat meminum susu kambing dari ladang tersebut baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Khalid berkata, pengambilan susu mentah adalah berisiko terutama kepada individu yang mempunyai daya tubuh (sistem imun) yang rendah terutamanya warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dan bayi.

Iklan

Komposisi susu itu boleh menjadikan ia sebagai medium yang baik untuk pertumbuhan pelbagai bakteria berbahaya termasuk 'brucella spp' dan 'mycrobacterium spp'.

"Kami nasihatkan pengguna supaya tidak minum susu mentah, jika beli, pastikan susu tersebut dimasak atau dididihkan sebelum diminum. Pengguna diminta minum susu yang telah sedia dipasteur atau disteril seperti ultra heat treatment (UHT) serta membaca label bagi mengetahui suhu penyimpanan dan tarikh luput,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penjual atau pengusaha susu supaya mematuhi kehendak penjualan seperti termaktub di bawah Peraturan 51, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu tidak boleh menjual susu yang tidak diproses serta mengikuti kaedah yang ditetapkan.

Katanya, semua pengusaha atau penjual susu juga digesa mematuhi kehendak pelabelan ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985 termasuk alamat pengilang, penandaan tarikh luput, ramuan dan lain-lain.