Deretan peluang Pahang dinafikan Kedah

Iklan
Nwakaeme (kanan) dikawal ketat oleh pertahanan Kedah, Renan Alves.

ALOR SETAR - Pahang tetap berpuas hati dengan persembahan mereka biarpun terpaksa berkongsi satu mata dengan Kedah pada aksi Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman semalam apabila terikat tanpa jaringan.

Pengendalinya, Dollah Salleh berkata, deretan peluang berjaya dicipta oleh anak-anak buahnya dalam mengempur kubu Lang Merah namun jaringan sahaja yang gagal dicipta oleh mereka.

Iklan
Iklan

"Pada perlawanan pertama selepas raya, saya tetap berpuas hati dengan corak pasukan saya kerana kami banyak mencipta ruang namun cuma jaringan sahaja yang kita tidak dapat.

"(Lazarus) Kaimbi juga pertama kali beraksi selepas setahun beliau berehat dan saya nampak tiada masalah dia bermain sebagai satu pasukan malah sudah menunjukkan keserasian bersama (Dickson) Nwakaeme.

Iklan

"Kedua-dua pemain ini sebenarnya belum 100 peratus cergas sebab Nwakaeme baru sahaja pulih dari kecederaan hamstring dan beliau juga baru berlatih bersama pasukan tidak sampai seminggu. Walaupun tiada jaringan yang dihasilkan namun saya tetap berpuas hati dengan usaha yang dilakukan," katanya pada sidang akhbar di bilik media Stadium Darul Aman.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap memuji pasukannya kerana berjaya bertahan dengan baik semasa diasak oleh pelawat kerana Pahang merupakan lawan yang sukar untuk dijinakkan.

Iklan

Walaupun gagal menurunkan tiga tonggak utama iaitu Jonathan Bauman, Rizal Ghazali dan Azmeer Yusof kerana digantung satu perlawanan, beliau tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai alasan kerana Tok Gajah juga mengalami masalah yang sama.

"Sudah tentu apabila beraksi di laman sendiri kami mahu tiga mata penuh namun pada perlawanan ini gagal melakukannya walaupun berjaya mencipta beberapa peluang menjaringkan gol," katanya.

Tambahnya, beliau berharap semua pemain yang masih cedera akan pulih segera sebelum aksi bertemu PKNS FC di laman lawan di Shah Alam, Selasa ini bagi aksi Liga Super seterusnya.

"Saya berharap Kedah akan dapat turun dengan skuad penuh pada Selasa ini apabila berdepan PKNS FC kerana kami mahu memburu kemenangan untuk memunggut tiga mata," katanya.