GUA MUSANG - Kesemua 12 mayat dan rangka orang asli suku kaum Bateq, Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini, ditemukan dan ditanda selepas empat hari Ops Bateq.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, empat daripadanya telah dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk siasatan lanjut.
Katanya, operasi mencari empat kubur yang terletak di seberang Sungai Lebir, agak mencabar dan memakan tempoh melebihi tiga jam perjalanan.
"Empat kubur ini dipecahkan kepada dua lokasi yang mana jarak antara dua kubur pertama itu adalah meliputi dua jam menaiki bot dan satu jam jalan kaki dari kawasan Taman Negara Kuala Koh.
"Kubur ketiga dan keempat pula memakan masa dua jam menaiki bot dan satu jam 15 minit jalan kaki dari kawasan taman negara.
"Bagaimanapun, kita hanya berjaya membawa keluar satu mayat sahaja dipercayai, Mek Nab Tebu, 63, yang meninggal dunia pada 2 Mei lalu. Tiga lagi tidak dapat dibawa keluar kerana faktor cuaca," katanya.
Tambah Mohd Taufik, mayat dan rangka seterusnya akan dibawa keluar mulai esok, bergantung kepada cuaca.
"Hujan lebat dan arus deras menyebabkan pasukan mencari tidak dapat menggunakan bot untuk membawa keluar mayat.
"Jika cuaca baik, kita akan bawa keluar empat lagi mayat dan seterusnya empat lagi yang telah ditanda," katanya.
Selain mayat Mek Nab, tiga lagi mayat yang dibawa keluar dipercayai Din hamdan, 29, Fayah Papan, 20 dan Safia Papan, 18.
Terdahulu, dua mayat milik Romi Hamdan,29 dan Puja Jong, 22, digali semula dan dihantar ke HGM bagi siasatan lanjut.
Kedua-duanya telah melalui proses bedah siasat sebelum ini dan disahkan meninggal dunia akibat radang paru-paru.
Lapan lagi mayat yang akan dibawa keluar dan melalui proses siasatan lanjut adalah Puspa Lie, 5, Amir Lie, setahun, Haikal Rahim, 20, Farah Rahim, 32, Laila Hamdan, 20, Farah Rahim, 32, Mohd Saleh Khaizan, 1 dan Jalik Jong.
Mereka didakwa meninggal dunia dari tempoh 2 Mei hingga 6 Jun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga batin pembawa penyakit misteri